Golongan komorbiditi penyumbang tertinggi kes 'Brought in Dead'

Pekerja kesihatan dengan alat pelindung diri menguburkan mayat mangsa Covid-19 di tanah perkuburan.



Kuala Lumpur: Mereka mempunyai komorbiditi adalah antara golongan tertinggi korban Covid-19 yang dibawa ke hospital atau Brought in Dead (BID) seterusnya menyumbang peningkatan kes maut di luar fasiliti kesihatan.

Ini kerana majoriti mangsa mempunyai komorbiditi itu tidak menyedari bahawa mereka sudah dijangkiti Covid-19 disebabkan tidak pernah diuji.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 755 daripada mangsa BID mengalami komorbiditi atau menghidap dua atau lebih penyakit serentak seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan masalah buah pinggang kronik kerana mempunyai sistem imun badan yang rendah.

"Bilangan mangsa BID meningkat. Sehingga Selasa lalu, 1,131 daripada 9,403 yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah BID.

"Sebanyak 755 daripada mangsa BID mengalami komorbiditi dan berusia lebih 40 tahun didapati tidak tahu mereka dijangkiti.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba
"Majoriti golongan mangsa itu membabitkan 79 peratus juga didapati tidak pernah menjalani saringan untuk Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan sekali gus penyebab mereka tidak menyedari dijangkiti virus itu," katanya kepada akhbar New Straits Times, kelmarin.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut mendapati 80 hingga lebih 90 peratus kes positif Covid-19 di negara ini adalah dalam Kategori 1 (tiada simptom) dan Kategori 2 (simptom ringan).

Katanya, kes BID ditemui dalam kalangan pesakit adalah daripada semua lima kategori tahap pesakit Covid-19.

"Data menunjukkan sesetengah pesakit kekal dalam Kategori 1 dan 2, tetapi sesetengah pesakit beralih ke Kategori 3, 4 dan 5. Tempoh jangkitan berbeza-beza dari seorang ke seorang yang lain," katanya.

Untuk rekod, tahap jangkitan pesakit disahkan positif Covid-19 terbahagi kepada lima kategori iaitu Kategori 1 (tiada gejala), Kategori 2 (gejala ringan), Kategori 3 (ada radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, Kategori 4 (ada radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan Kategori 5 (kritikal memerlukan alat bantuan pernafasan).

Beliau berkata, faktor penyumbang transmisi atau penularan jangkitan adalah kontak rapat, kegagalan diuji apabila terdapat tanda-tanda sakit, kelewatan dalam mendapatkan rawatan awal dan pesakit tidak mahu mendapatkan rawatan menjalani ujian saringan meskipun bergejala.

"Pesakit lebih sukar untuk mendapatkan bantuan perubatan diperlukan dalam kecemasan jika ada kekangan perkhidmatan pengangkutan perubatan sebagai contoh jumlah ambulans yang terhad.

"Malangnya kekangan logistik ini juga menyumbang kepada peningkatan kes BID terutamanya di sempadan pandemik 'Greater Klang Valley' di mana terdapatnya lonjakan jangkitan," katanya.

Dr Adham berkata, kes BID juga berlaku sekiranya pesakit gagal memberikan butiran maklumat lengkap diri kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ada kes Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ingin memeriksa pesakit positif untuk menetapkan janji temu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menunggu katil kemasukan, namun pesakit tidak dapat dihubungi kerana butiran mereka tidak sepadan.

"Sama ada maklumat yang mereka berikan tidak lengkap atau tidak betul atau sesetengahnya memang tidak mahu mengakui tahap sakit walaupun hakikatnya keadaan kesihatan sudah semakin merosot.

"Pesakit Covid-19 yang berada dalam pengawasan di rumah perlu dipantau rapat kerana keadaan mereka boleh merosot secara tiba-tiba mengakibatkan lebih banyak kes BID.

"KKM memandang serius lonjakan kes BID. Kami sedang melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan kadar itu," katanya.

Beliau berkata, antara langkah diambil ialah pelaksanaan CAC maya di Greater Klang Valley (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan) bulan lalu.

Katanya, pesakit positif dipantau secara maya bagi mempercepatkan diagnosis dan pengurusan serta mengurangkan kesesakan di CAC.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.