Kisah kanak-kanak berusia 4 tahun, Michelle membesar di tempat pembuangan Sampah di Bintulu, Sarawak.
Kawasan pembuangan sampah adalah satu-satunya taman permainan diketahui seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, Michelle.
Duduk di lopak berlumpur di luar rumah datuk dan neneknya di Bintulu, Mitchelle yang berusia empat tahun itu bermain dengan mainan yang dijumpainya di kawasan pembuangan sampah berhampiran.Tengah hari itu sangat terik, namun Michelle dan anak-anak kampung lain tidak peduli, mereka keluar juga untuk bermain sorok-sorok, berkaki ayam mengejar antara satu sama lain di sekeliling laluan yang penuh dengan timbunan sampah.
Tempat pembuangan sampah itu adalah salah satu daripada banyak kawasan seumpamanya di kawasan tersebut, ia dipenuhi timbunan barangan dianggap sampah oleh mereka yang membuangnya.
Namun, bagi yang mereka yang tinggal di kawasan sedemikian seperti Michelle, sampah-sampah itu adalah talian hayat yang tidak ternilai.
Setiap hari, penduduk kampung itu akan keluar rumah dan menyelongkar sampah yang datang ke kawasan tersebut bagi mencari barangan yang boleh dijual.
Sebuah pondok di kawasan pembuangan sampah di Bintulu, Sarawak.
Namun, bagi kanak-kanak pula, tempat pembuangan sampah itu adalah satu-satunya taman permainan mereka.
Kanak-kanak lelaki bermain di sungai tercemar berhampiran sementara kanak-kanak perempuan pula bermain guli di tengah-tengah timbunan sampah.
Sampah yang terkumpul akan dijual pengutip sampah di sekitar perkampungan itu.
Michelle menghabiskan sebahagian besar waktunya menyelongkar timbunan sampah itu bersama rakan-rakannya.
Pada sebelah petang, dia bersiar-siar dengan datuknya sementara menunggu neneknya pulang selepas seharian menyelongkar tempat pembuangan sampah tersebut.
Anak-anak bermain di sungai yang kotor ketika penduduk kampung memeriksa garisan cucian yang dibina di sepanjang tebing.
Begitulah kehidupan kanak-kanak seperti Michelle di mana keluarganya tinggal di tempat pembuangan sampah, mencari wang dengan cara mengais dan membongkar sampah setiap hari.
Bintulu yang satu ketika dahulu adalah sebuah perkampungan nelayan yang sunyi, kemudiannya menjadi sibuk selepas penemuan simpanan minyak dan gas di kawasan berhampiran.
Selepas minyak, pembalakan, perladangan kelapa sawit berkembang pesat, ia kemudian diikuti dengan industri berat seperti peleburan aluminium dan pembuatan simen.
Kepesatan itu menjadikan Bintulu sebagai kawasan negeri yang terkenal dengan pelbagai tawaran wang mudah untuk pekerja kurang mahir.
Namun ketika Bintulu semakin berkembang, jurang pendapatan penduduknya mulai melebar.
Ketidaksamaan ekonomi dengan cepat meningkat, dan ramai penduduk yang berasal dari kawasan luar bandar yang berhijrah ke bandar itu pada awal 1980-an sekarang tinggal di kawasan setinggan di tempat pembuangan sampah seperti Michelle.
Penduduk kampung berdiri berhampiran timbunan sampah yang menyediakan mereka sebagai saluran kehidupan yang sangat diperlukan.
Walaupun seharian menyelongkar sampah, mereka gagal bertemu dengan barang yang boleh dikitar semula.
“Ketika ini, ramai yang hidup kesempitan di sekeliling timbunan sampah yang turut memenuhi sudut-sudut jalan dan halaman rumah,” kata Francis Ngu Hown Hua, yang menghabiskan separuh umurnya di Bintulu, kepada MalaysiaNow.
Katanya, kebanyakan penduduk setinggan di kawasan itu berasal dari luar bandar dan mempunyai latar belakang pendidikan dan kurang kemahiran yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar.
Nenek dan datuk Michelle adalah antara yang awal berhijrah ke Bintulu.
Nurirastri, nenek Michelle, mengangkat karung plastik di punggungnya yang dipenuhi dengan barang-barang yang dikeluarkan dari tempat sampah berhampiran rumah mereka.
Neneknya, Nurirastri berkata dia dan suaminya berpindah ke Bintulu dari Sibu selepas berkahwin.
Untuk beberapa tahun, mereka berjalan ke tempat pembuangan sampah setiap hari.
Mereka mengumpul sisa-sisa logam, elektronik, getah dan beg plastik untuk dijual untuk dikitar semula.
Mereka kemudian menjaga Michelle setelah ibunya, yang baru berusia 14 tahun, melarikan diri.
Kini, Nurirastri pergi ke tempat pembuangan sampah dan menyelongkar bagi mencari barangan yang boleh dijual sementara suaminya menjaga Michelle di rumah..
Pada waktu malam, mereka akan berganti: Nurirastri akan menjaga Michelle sementara suaminya pula yang akan pergi menyelongkar sampah untuk dijual.
“Biasanya dia akan keluar sehingga pukul 4 pagi,” kata Nurirastri kepada MalaysiaNow.
Namun wabak Covid-19 yang melanda menyebabkan kehidupan menjadi lebih sukar, namun mereka tetap kuat untuk meneruskan dengan sedaya upaya demi Michelle walaupun mereka sendiri jatuh sakit.
Nurirastri menderita sakit kronik di perutnya. “Ia sangat menyakitkan; rasanya seperti benda tajam tusuk saya,” katanya.
“Tapi nasib saya baik, Francis tolong saya. Dia beri saya ubat, dan saya keluar bekerja setelah rasa sakit hilang."
Francis akan datang menjenguk mereka setiap kali dia mempunyai kesempatan untuk memeriksa keluarga kecil itu, bertanyakan sama ada keperluan mereka cukup selain makanan dan susu untuk Michelle.
Michelle menghulurkan tangan neneknya sambil berdiri di sebelah botol minuman dan beg lampin yang diberikan kepada keluarga.
Dia berkata banyak penduduk kampung di sekitar kawasan itu tidak memiliki dokumen seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan sekali gus menyebabkan akses perkhidmatan sosial mereka terbatas.
“Mereka juga tidak mampu jalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Hidup sendirian di tengah timbunan sampah, mereka melakukan yang terbaik untuk membesarkan anak-anak walaupun persekitaran tidak kondusif.
“Pengutip sampah gunakan air tercemar untuk basuh makanan dan mandi walaupun tapis air minuman dan memasak mereka,” kata Francis.
“Anak-anak memancing di tasik yang berbau dekat kawasan ini.”
Antara kanak-kanak yang tinggal di kawasan sekitar perkampungan itu.
Bagi kebanyakan mereka, ini merupakan kehidupan dengan masa depan yang gelap kerana kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan dan stigma sosial sehingga menyebabkan tidak lagi dapat pergi ke mana-mana.
Masih belum jelas berapa ramai anak yang dilahirkan di kawasan pembuangan sampah ini, tetapi Francis berkata mereka mungkin akan terus menetap di sana.
Penduduk kampung menuruni anak sungai yang keruh ke rumah mereka di sepanjang tebing.
Di tempat pembuangan sampah itu, Nurirastri dan suaminya terus menyelongkar, dengan harapan akan perolehi sedikit wang dan hasilnya cukup untuk membantu Michelle meninggalkan kawasan tersebut.
“Harapan saya kami dapat miliki rumah dengan persekitaran yang lebih baik,” kata Nurirastri.
“Kami lakukan semua ini untuk Michelle. Kami mahu dia pergi ke sekolah dan menjadi orang yang berjaya. Kami tahu kami tidak boleh berikan harta tetapi apa yang penting adalah ilmu pengetahuan.”
Selagi pendapatan belum cukup untuk meninggalkan kawasan itu, mereka akan terus tinggal di sana seakan menjadi ironi terhadap realiti kawasan pembuangan sampah itu.
Sekurang-kurangnya buat masa ini, mereka masih terus mengutip sampah di sekitar pondok setiap hari dengan harapan suatu hari nanti akan dapat capai impian untuk meninggalkan kawasan itu.
SOURCE: Malaysianow
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.