Norza tawar Misbun kembali ke BAM, habiskan kontraknya hingga hujung 2023
.
Norza guna duit sendiri bayar gaji Misbun
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui beliau mempunyai hubungan yang istimewa dengan Datuk Misbun Sidek dan cukup menghormati legenda negara itu.
Malah, Norza turut mendedahkan beliau sanggup mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri untuk membayar separuh gaji Misbun ketika jurulatih itu kembali ke pangkuan BAM pada 2017.
Katanya, kemelut yang melanda susulan penamatan kontrak Misbun selaku pengarah pembangunan remaja negara wujud disebabkan masalah komunikasi.
"Pada mulanya, saya dimaklumkan oleh Datuk V Subramaniam (Timbalan Presiden BAM) bahawa Misbun setuju dengan perkara itu (penamatan kontrak) jadi saya menganggapnya selesai.
"Jika dia kata Misbun tidak setuju saya akan jumpa dengannya sebab hubungan saya dengan dia.
"Memang dia pernah kata, bosnya hanya satu iaitu Norza," katanya ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini, hari ini.
Mengimbau kembali detik beliau memutuskan untuk membawa Misbun kembali ke pangkuan BAM pada 2017, Norza memberitahu tindakannya itu kurang disenangi beberapa ahli majlis.
"Ini sejarah saya dengan Misbun. Ketika saya mengambil alih tugas sebagai presiden BAM pada 2017, saya presiden baru yang tak ada pengalaman lampau.
"Bila saya cakap dengan ahli majlis untuk bawa Misbun kembali ke BAM, mereka kata mungkin ada masalah selepas isu pada 2000 kerana Misbun sebelum ini pernah tinggalkan BAM.
"Tetapi saya tidak pernah fikir itu satu isu dan sebagai presiden saya perlu fikir hala tuju BAM. Hala tuju saya ketika itu adalah untuk melahirkan lebih banyak (Datuk Lee) Chong Wei kerana ketika itu era Chong Wei sudah di penghujung.
"Jadi, kenapa kita tak bawa Misbun yang sudahpun lahirkan Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim.
"Pada ketika itu keadaan BAM tidak seselesa seperti hari ini. Saya ambil keputusan untuk mengambil Misbun dengan kontrak dua tahun yang mana gajinya di bayar separuh oleh BAM dan separuh lagi saya.
"Ini kerana saya ingin lihat ikon baru muncul sebagai ikon legenda Melayu," katanya.
Selepas kontrak Misbun selama dua tahun tamat, Norza melantik Misbun sebagai pengarah pembangunan remaja negara.
Dengan jawatan itu, Misbun mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melakukan apa saja kerana mendapat restu daripada Norza biarpun beberapa ahli majlis tidak bersetuju.
Malah, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh turut mengakui perkara berkenaan yang mana Misbun diberi kebebasan penuh untuk memilih siapa dan apa yang diinginkannya.
"Misbun diberi kebebasan penuh untuk buat apa yang dia inginkan termasuk memilih jurulatih. Ramai yang tidak setuju dia membawa masuk anaknya, Ramdan (Misbun) kita tak bantah walaupun ada yang tak setuju," katanya.
Misbun sebelum ini meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul itu selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Subramaniam membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.
Bagaimanapun, Norza hari ini mengumumkan BAM kembali menawarkan Misbun untuk menggalas tugas selaku pengarah pembangunan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat pada hujung tahun ini dan jika beliau tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda agar tiada pihak yang berasa teraniaya.
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date