Kes melambung angkara kelonggaran PKP - KKM

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong



KUALA LUMPUR: Peningkatan kes COVID-19 sehingga mencecah paras 20,000 berpunca daripada kesan terkumpul untuk tempoh sebulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata kesan kumulatif itu antara lain merangkumi keputusan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Selain itu, katanya, sambutan perayaan dan pergerakan segelintir masyarakat merentas daerah serta negeri dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

"Memang ramai yang bimbang dengan peningkatan kes. Tapi ini daripada kesan kumulatif sebulan lalu, selepas tempoh dua hingga empat minggu daripada kelonggaran ketika PKP 3.0, majlis sambutan perayaan, pembukaan ekonomi dan pergerakan masyarakat.

"Sekarang kita lihat peningkatan kes. Malah, keadaan ini berpunca daripada varian Delta yang lebih dominan di Malaysia," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.


Pasukan pengurusan jenazah Covid-19 yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mengusung jenazah Covid-19 masuk ke kawasan perkuburan.
Ekoran kebimbangan peningkatan kes yang berpusat di Selangor dan Kuala Lumpur, Dr Chee Kheong berkata, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) ditubuhkan, bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan tidak terus terbeban.

Beliau yang juga Komander Pusat Arahan GKV STF berkata, Lembah Klang pada awalnya dikenal pasti menjadi penyumbang di antara 60 hingga 70 peratus daripada kes yang dicatatkan di seluruh negara.

"Bagaimanapun, sekarang kes di Lembah Klang menyusut sedikit apabila menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus daripada kes di seluruh negara.

"Peningkatan kes sekarang bukan hanya berlaku di Lembah Klang, iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.