Hakikatnya, isu kedaulatan di Laut China Selatan bukan isu politik, sebaliknya isu yang kita semua warga Malaysia berkongsi dan akan mempertahankan nilai itu
PERKEMBANGAN di Laut China Selatan kebelakangan ini sangat membimbangkan kerana seolah-olah wilayah itu menjadi medan baharu persaingan politik-ketenteraan dan nuklear-teknologi.
Perkembangan mutakhir ini bukan sahaja disebabkan kedudukan strategik ketenteraan wilayah ini, bahkan faktor ekonomi kerana kawasan ini kaya dengan simpanan minyak dan gas, menjadi laluan perdagangan antarabangsa serta sumber makanan laut, selain faktor alam sekitar dan kedaulatan.
Hakikatnya, Malaysia turut terbabit secara langsung dalam isu ini kerana kita menuntut beberapa fitur di wilayah terbabit, terutama di kepulauan Spratly.
Malaysia mula terbabit dalam tuntutan di kepulauan Spratly pada 1978. Asas tuntutan kita, berdasarkan prinsip lanjutan pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Malaysia dalam hal ini tidak menggunakan asas sejarah dalam tuntutannya, berbeza dengan penuntut lain.
Apabila Malaysia mengeluarkan Peta Baharu pada 21 Disember 1979, ia memasukkan 12 fitur di kepulauan Spratly dalam EEZ Malaysia. Lanjutan itu, Malaysia menduduki Pulau Layang-Layang pada 1983; Ubi (1986); Mantanani (1986); Siput (1999) dan Peninjau (1999).
Sehingga kini, Malaysia berjaya menduduki enam daripada 12 fitur dituntut. Malangnya, kawasan dituntut dan diduduki ini turut dituntut negara lain seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei. Bagi menguatkan tuntutan ini, beberapa pendekatan digunakan termasuk menggunakan kekuatan ketenteraan dan saluran diplomasi serta bilateral/multilateral bersama penuntut lain.
Namun, dalam memahami tuntutan ini, timbul beberapa persoalan sejauh mana Malaysia serius dalam tuntutannya? Adakah memadai ia berasaskan asas pelantar benua dan kekuatan ketenteraan seperti berlaku hari ini? Adakah isu ini hanya perlu diberikan kepada pihak tentera atau pemimpin tertinggi negara sahaja? Di manakah peranan dan fungsi warganegara Malaysia lain?
Seperti ditegaskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada 2019, 'Malaysia adalah sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan,' sekali gus memerlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.
Namun, adakah pembangunan pertahanan untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan maritim Malaysia sejajar hasrat dan impian KPP itu?
Persoalan sama juga timbul apabila melihat keseriusan ahli politik Malaysia dalam mendepani isu ini? Adakah isu ini sering didebatkan di Parlimen? Apakah cadangan untuk menguatkan tuntutan Malaysia di wilayah sangat strategik ini.
Lebih membimbangkan, ramai warganegara tidak sedar mengenai isu ini. Sejak 2013 hingga awal tahun lalu, penulis menugaskan mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meninjau kesedaran warga Malaysia di seluruh daerah di Sabah mengenai isu ini.
Malangnya data menunjukkan, ramai 'tidak sedar,' 'tidak tahu' dan menganggap ia 'tidak penting.' Lebih mendukacitakan apabila bukan sahaja penduduk di luar bandar dan pedalaman tidak mengetahui mengenai hal ini, malah ramai kakitangan awam-swasta, guru bahkan pensyarah di bandar tidak tahu mengenai hal ini.
Ini berbeza dengan negara lain yang menjadikan isu ini agenda penting negara hingga diterapkan dan diajar dalam subjek penting di sekolah, peta Laut Cina Selatan dimasukkan dalam pasport negara dan hampir kesemua rakyatnya berkongsi satu nilai sama, iaitu kekuasaan mereka jauh hingga ke laut berkenaan.
Sepanjang hampir 40 tahun Malaysia menuntut kepulauan Spratly, tidak banyak boleh dibanggakan. Selain kesedaran penduduk rendah, isu ini lebih didominasi pihak keselamatan dan pemimpin negara. Ia memerlukan sokongan dan dukungan kesemua warga Malaysia untuk mengesahkan dan menguatkan tuntutan Malaysia.
Sudah tiba masanya Malaysia menggunakan semua saluran untuk mendepani isu ini dan tidak mengehadkan strategi seperti berlaku pada hari ini.
Menyedari keperluan ini, sejak 2019, satu inisiatif diambil UMS melalui bantuan kerajaan untuk menjalankan penyelidikan mengenai isu terbabit. Kajian diketuai Prof Harun Abdullah ini berusaha untuk melihat isu ini daripada perspektif luas, tidak mengehadkan kepada peranan tentera dan negara.
Antara kluster dalam kajian ini, Geopolitik dan Kearifan Lokal dibentuk untuk meneroka elemen sejarah dan interaksi penduduk dengan kawasan dituntut terbabit.
Perlu diakui Sabah ialah negeri paling hampir dengan kawasan terbabit, namun banyak khazanah dalam bentuk dokumen bertulis (arkib) dan sejarah lisan (penduduk) masih tidak didokumentasikan.
Walaupun Malaysia tidak menggunakan asas sejarah dalam tuntutan ini, dokumentasi bahan arkib di Arkib Negeri dan Arkib Negara serta arkib luar negara dalam pelbagai bahasa masih belum diterokai dengan mendalam terutama dalam memahami kepentingan Malaysia di wilayah dituntut.
Satu lagi sumber perlu didokumentasikan adalah berkait dengan interaksi penduduk di pesisir pantai Sabah dengan kawasan terbabit yang berlaku sejak sekian lama hingga 1980-an, apabila kawasan ini dijadikan 'zon larangan.'
Penulis melihat dokumentasi ini sangat mendesak kerana ia sumber bukan sahaja mampu memperkaya asas tuntutan, bahkan khazanah paling berharga kepada sejarah negara pada masa hadapan. Hakikatnya, generasi tua yang terbabit secara langsung dalam eksplorasi ke 'wilayah Bandora' dalam bahasa tempatan Sabah, yang merujuk kepulauan Spratly pada hari ini, perlu didokumenkan pada kadar segera.
Wilayah Bandora menjadi syurga kepada penduduk ini terutama untuk menangkap hasil laut untuk dijadikan 'ikan masin' sebenarnya ialah sejarah lisan memerlukan perhatian mendesak untuk didokumentasikan.
Usaha merekodkan pengurusan, penguatkuasaan dan pemantauan serta pendudukan efektif di kawasan terbabit tidak akan lengkap tanpa memasukkan elemen ini. Namun, diakui tugas mengumpul dan merekodkan ini bukan tugas mudah.
Ia memerlukan sokongan, kerjasama dan pengorbanan semua pihak, sama ada warga negara, sektor awam, agensi dan jabatan kerajaan negeri serta persekutuan.
Hakikatnya, isu kedaulatan di Laut Cina Selatan bukan isu politik, sebaliknya isu yang kita semua warga Malaysia berkongsi dan akan mempertahankan nilai itu. Inilah disebut sebagai nilai teras sebagai asas kepada pembentukan negara, khususnya Malaysia berdaulat.
Penulis adalah Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.