Covid-19: Ribuan kanak-kanak Indonesia maut

PETUGAS bersiap sedia mengebumikan mayat Covid-19 yang dibawa dengan ambulans dari hospital ke tanah perkuburan di Bekasi, Jawa Barat. -AFP



JAKARTA: Seramai 1,065 kanak-kanak di Indonesia maut akibat pandemik Covid-19 sekali gus berkemungkinan mencatatkan rekod kematian tertinggi melibatkan golongan itu di dunia.

Bilangan kematian semakin meningkat ketika gelombang kedua membadai dengan 100 kes kematian direkodkan setiap minggu sejak Julai lalu.

Ketua Masyarakat Pediatrik Indonesia (IDAI), Prof. Aman Pulungan berkata situasi itu menggambarkan keadaan yang tidak baik sedang berlaku.

Katanya, seramai 207,000 kanak-kanak sudah dijangkiti penyakit itu dengan 90,000 daripada mereka disahkan menghidap virus sejak 14 Julai lalu.

Jelasnya, sebanyak 12.5 peratus daripada kes positif yang disahkan melibatkan golongan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata, data yang ditunjukkan tidak semestinya menunjukkan keadaan sebenar kerana ujian pengesanan Covid-19 masih rendah antara 100,000 ke 200,000 sehari.

Pakar menzahirkan kebimbangan lebih ramai kanak-kanak akan mati kerana kes keseluruhan sudah mencecah 3.6 juta dengan 104,000 kematian.

Oleh itu, negara yang mempunyai 270 juta penduduk perlu mengambil tindakan segera bagi mengekang lebih banyak kematian.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, varian Delta merupakan varian utama bagi kebanyakan kes wabak di Indonesia.

Namun, Prof. Aman berkata, belum jelas sama ada ia adalah punca utama kenapa kematian dalam kanak-kanak semakin bertambah.

Katanya, sistem kesihatan turut dilanda masalah kerana tidak mampu menampung lonjakan jangkitan virus itu.

“Sekiranya dalam masa sama, semua orang sakit dan sistem kesihatan lumpuh serta tiada katil mencukupi untuk kanak-kanak, bayi, jadi apa yang perlu dilakukan?” soalnya.

MATI BANYAK FAKTOR

Timbalan Ketua organisasi Save The Children di Jakarta, Tata Sudrajat menjelaskan terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kes kematian kanak-kanak akibat virus maut.

Katanya, faktor itu adalah kurang zat makanan, akses penjagaan kesihatan serta pematuhan terhadap protokol kesihatan.

“Sejak pandemik bermula tahun lalu, kanak-kanak Indonesia adalah golongan paling tinggi yang belum divaksin, kesihatan kritikal dan kurang nutrisi yang menyebabkan risiko jangkitan serta kematian,” jelasnya.

Menurut Tata, bilangan kanak-kanak yang berjangkit bergantung kepada bilangan dewasa yang dijangkiti Covid-19 kerana banyak kes merupakan kontak rapat ibu bapa sendiri.

Beliau malah menjelaskan sekiranya ada ahli keluarga yang dijangkiti dan melakukan kuarantin kendiri, ahli keluarga lain turut berada dalam risiko kerana keadaan di rumah yang tidak sesuai bagi pengasingan diri. -CNA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.