Lelaki rugi RM8,215 beli kereta sambung bayar dalam Facebook

Gambar hiasan



KUANTAN – Seorang lekaki berusia 22 tahun mengalami kerugian RM8,215 selepas ditipu dalam urusan pembelian kereta sambung bayar yang diiklankan di Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 10 Julai lalu selepas mangsa melihat satu iklan penjualan kereta di Facebook.

“Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang melihat iklan di Facebook mengenai penjualan kereta jenis Myvi dengan harga RM4,500 dan sambung bayar pinjaman bank selama setahun.

“Mangsa berhasrat untuk membeli kereta berkenaan dan menghantarnya ke kampung halamannya di Keningau, Sabah,”katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa kemudiannya menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli kereta berkenaan.

Katanya, pada 11 Julai lalu, mangsa telah membuat pembayaran melalui transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM3,500.

“Sejam kemudian mangsa membuat sekali lagi transaksi sebanyak RM2,000 apabila suspek memberitahu transaksi pertama tersekat dan wang terbabit hanya akan masuk ke akaun selepas tiga hari.

“Keesokkannya suspek meminta mangsa membayar RM1,000 kerana dikatakan isterinya tidak berpuas hati dan mangsa bersetuju membayar jumlah itu,”katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 30 Julai lalu mangsa menerima mesej melalui WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pemilik kedai motor di Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, Lelaki terbabit memaklumkan penjual kereta (suspek) telah dijangkiti Covid-19 dan perlu dikuarantin dan dia diamanah untuk menguruskan penghantaran kereta Myvi berkenaan ke kampung mangsa.

“Kemudian mangsa diminta untuk membayar bayaran bulanan kereta berkenaan sebanyak RM1,008 selain pelbagai bayaran lain bagi khidmat penghantaran kereta berkenaan menyebabkan mangsa mula berasa sangsi,”katanya.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Beserah, di sini, kerana berasa tertipu dengan urusan pembelian kereta berkenaan,”ujarnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.