PKPD: 'Anak kecil minum air sungai untuk tidur', 23 kampung didakwa belum terima makanan

Picture
Antara keadaan rumah orang Asli - Gambar Ramesh

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)





Penduduk Orang Asli di 23 lokaliti dalam daerah Batang Padang, Mukim Bidor, Ipoh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tiga hari lalu dilaporkan belum menerima sebarang bantuan makanan.

Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar mendakwa, kesemua penduduk di perkampungan tersebut kini terputus bekalan makanan dan berada dalam kelaparan.

Justeru, Ramesh mempersoalkan tindakan pihak berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang seolah-olah bersifat berat sebelah terhadap kebajikan masyarakat pribumi itu.

"Setakat pukul 3.30 petang hari ini, mereka belum menerima bekalan makanan.

"Hampir 99 peratus Orang Asli di semua kampung ini, sudah tiga hari tidak makan sebab mereka tiada dana untuk membeli makanan dan disimpan sebelum PKPD dilaksanakan.

Picture
Ramesh mendakwa kesemua penduduk di 23 lokaliti yang dikenakan PKPD terputus bekalan makanan, dan berada dalam kelaparan - Gambar ihsan Ramesh

"Anak-anak kecil minum air sungai untuk tidur. Jadi, kenapa Orang Asli dianaktirikan padahal ini pribumi? Mana badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini nak sangat bantu masyarakat, semua hilang?," katanya hari ini.

Terdahulu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di 23 perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah Batang Padang selama 14 hari bermula 11 hingga 24 Ogos depan.

Pelaksanaan PKPD tersebut dianggarkan melibatkan 1,159 penduduk.

Sementara itu, Bernama pada Jumaat melaporkan sebanyak 400 bakul makanan akan dihantar ke kawasan perkampungan Orang Asli tersebut, manakala 800 lagi bakul makanan dihantar pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ramesh mendakwa tindakan melengah-lengahkan penghantaran bekalan makanan menyebabkan ada penduduk perkampungan Orang Asli berkenaan terpaksa masuk ke hutan untuk mencari sumber makanan. "Bila masuk hutan dan terjumpa dengan budak-budak dari kampung lain, (kemungkinan jangkitan) akan merebak," ujarnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan membiarkan Orang Asli menjalani kuarantin di rumah bersama ahli keluarga.

Katanya, tindakan sedemikian boleh memberikan risiko kepada ahli keluarga lain memandangkan kebanyakan rumah penduduk Orang Asli adalah bersaiz kecil.

"Setakat semalam, Ketua Polis Perak (Datuk Mior Faridalathrash Wahid) telah beri kenyataan seramai 784 orang positif, sementara lapan kematian. Persoalan saya kenapa mereka tidak dikuarantin atau diasingkan?

"Selain itu, budak-budak yang pakai gelang dan positif bermain bola sepak bersama di dalam kampung. Selepas itu, yang pakai gelang merah semua mandi sungai bersama-sama, kenapa jabatan yang dipertanggungjawabkan tidak masuk ke kawasan PKPD untuk memberikan penerangan?" dakwanya lagi.

Sehubungan itu, Ramesh menggesa semua agensi dan pihak berkaitan agar memperkasakan koordinasi dan memberikan penerangan jelas kepada komuniti Orang Asli bagi mengelakkan mereka berasa takut, termasuk melibatkan ujian saringan COVID-19.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan respons daripada pihak berwajib berkenaan perkara tersebut.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.