Penduduk lari PKPD dinasihat serah diri

Pada petang Isnin, tular satu rakaman video berdurasi 32 saat memaparkan satu keluarga melarikan diri dengan memanjat palang besi di kawasan ini.



Penduduk yang melarikan diri apabila dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan serah diri dan kembali ke lokaliti masing-masing.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pergerakan keluar penghuni daripada kawasan PKPD dibimbangi membawa jangkitan lebih ramai kepada rakyat sekali gus menyukarkan negeri ini yang berstatus Fasa Dua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk ke fasa seterusnya.

"Sekiranya ada yang terlepas keluar, (tindakan) mereka ini boleh menyebabkan virus tersebar lagi.

"PPN fasa dua ini mesti dipatuhi jika hendak pindah ke fasa tiga. Kalau fasa dua pun tidak boleh patuh, agak sukar lah.

"Kita cuma minta patuh dan jangan keluar daripada kawasan PKPD, hanya beberapa hari sahaja.

Keadaan semasa ketika ini amat membimbangkan," katanya kepada pemberita di Kampung Belian di sini, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan 50 keluarga dari PKPD Taman Sri Bayu, di sini yang melarikan diri ketika pelaksanaan pada 11 Ogos lalu.

Nasihatnya itu juga merujuk kepada satu kes penghuni daripada PKPD Kampung Berlian yang keluar ke Pasar Besar Wakaf Bharu, kelmarin dengan memakai gelang merah jambu sehingga menyebabkan pasar terbabit ditutup semalam untuk proses sanitasi.

Katanya, susulan daripada dakwaan yang berlaku di PKPD Taman Sri Bayu itu, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu Ahmad hadir di Kampung Belian di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan yang dikenakan PKPD bermula 4 Ogos lalu untuk melihat proses agihan makanan basah kepada penduduk.

Proses agihan yang dijalankan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sukarelawan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan, Said Sidup.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.