'Saya akan ditidurkan, maafkan semua'

Hantaran terakhir dimuat naik Muhammad Hanizam Azman, 30, di Facebook empat jam sebelum meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAS), semalam. - Foto media sosial



SUNGAI PETANI: "Sy (saya) akan ditidurkan, maafkan semua".

Itu hantaran terakhir dimuat naik Muhammad Hanizam Azman, 30, di Facebooknya sebelum dia meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), semalam.

Lebih memilukan arwah meninggal dunia empat jam selepas memuat naik status itu dan ramai rakan masih meninggalkan komen tanpa mengetahui dia sudah pergi buat selama-lamanya.

Muhammad Hanizam atau lebih mesra dipanggil Angah dalam kalangan keluarga serta rakan juga adalah seorang penyanyi dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009.

Arwah juga pernah dinobatkan sebagai johan Bintang Asli Remaja kategori lelaki yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah pada 2014.


ALLAHYARHAM Muhammad Hanizam (kiri) meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAS), semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan
Sepupu arwah, Khairul Hairuzi Osman, 36, berkata, pemergian Angah sangat dirasai kerana mereka berdua memang rapat sejak kecil namun dia reda dengan takdir.

Menurutnya, dia dan arwah tinggal bersama kerana rumah mereka di Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda berhampiran.

"Arwah seorang yang rajin bekerja, selain menerima undangan menyanyi, saya dan Angah turut menjalankan perniagaan kedai makan di kampung.

"Arwah juga cukup mesra dengan semua orang dan tidak pernah berkira langsung untuk menghulurkan bantuan sekiranya saya atau rakan dalam kesusahan," katanya.

Menurutnya, dia dan arwah ada memelihara seorang anak angkat lelaki yang kini berusia dua tahun dan sebelum meninggal dunia arwah berpesan supaya menjaga anak angkat itu dengan baik.


Allahyarham merupakan penyanyi lagu-lagu asli dan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009.
"Arwah yang masih bujang adalah anak kedua daripada lima beradik dan semua ahli keluarganya dijangkiti COVID-19 dengan ada antara mereka masih menjalani kuarantin.

"Semua ahli keluarga sudah dimaklumkan pemergiannya kecuali ibu arwah kerana masih dirawat menggunakan bantuan oksigen," katanya.

Menurutnya, mereka kali terakhir bertemu selepas dia menghantar arwah yang mengadu tidak boleh bernafas ke HSAH tiga hari sebelum itu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.