Issei Sagawa atau ‘Kanibal Kobe’ meninggal dunia akibat radang paru-paru pada 24 November lalu dan dikebumikan dalam upacara ringkas yang hanya dihadiri oleh saudara-mara, kata adik lelakinya
'Kanibal Kobe' Jepun meninggal dunia pada usia 73 tahun
TOKYO: Issei Sagawa, seorang pembunuh Jepun yang tidak pernah dipenjarakan, dikenali sebagai 'Kanibal Kobe' kerana membunuh dan memakan mangsanya iaitu seorang pelajar Belanda, meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Gambar fail pada 5 Februari 1992 menunjukkan Issei Sagawa, yang dikenali sebagai ‘Kanibal Kobe’ kerana membunuh dan kemudian membaham seorang pelajar Belanda pada 1981, tersenyum dan memberi isyarat ketika dia bertemu dengan seorang wartawan AFP di apartmennya di Yokohama. - Foto AFP
Sagawa meninggal dunia akibat radang paru-paru pada 24 November lalu dan dikebumikan dalam upacara ringkas yang hanya dihadiri oleh saudara-mara, kata adik lelakinya dan seorang rakannya dalam satu kenyataan.
Bekas pelajar Jepun, Issei Sagawa, 42, pembunuh pelajar Belanda Renee Hartevelt, memegang salah satu gambarnya yang memaparkan seorang wanita Barat, pada 5 Februari 1992, di apartmen bujangnya di Yokohama. | Kredit Foto: AFP
Pada 1981, Sagawa sedang belajar di Paris apabila dia menjemput pelajar Belanda, Renee Hartevelt ke rumahnya.
Beliau menembak pelajar itu di leher, merogolnya, dan kemudian memakan bahagian badannya selama beberapa hari.
Sagawa kemudian cuba membuang mayat mangsa di taman Bois de Boulogne dan ditangkap beberapa hari kemudian, mengaku jenayahnya kepada polis.
Namun, pada 1983 beliau dianggap tidak layak untuk dibicarakan oleh pakar perubatan Perancis dan ditahan di sebuah institusi psikiatri sebelum dihantar pulang ke Jepun pada 1984.
Keluarga Hartevelt mendesak Sagawa didakwa di Jepun supaya 'pembunuh itu tidak akan bebas'.
Namun, ketika ketibaannya di Jepun, dia diisytiharkan waras oleh pihak berkuasa Jepun, yang memutuskan Sagawa menghadapi masalah 'anomali watak' dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.
Pihak berkuasa Jepun tidak mendapatkan fail kes dari pihak Perancis dan menganggap kes itu tutup dan pembunuh itu bebas.
Sagawa tidak merahsiakan jenayahnya dan memanfaatkan kemasyhurannya, termasuk menceritakan pengalaman dalam novel bertajuk 'Dalam Kabut' yang mana beliau mencoretkan kejadian pembunuhan itu secara terperinci.
Kisah pembunuhan itu juga menjadi inspirasi terhasilnya novel 'Surat dari Sagawa-kun' yang ditulis novelis Jepun, Juro Kara, yang memenangi hadiah sastera paling berprestij di negara itu pada tahun 1982.
Di sebalik perincian pembunuhan yang kejam, dan kekurangan penyesalannya, Sagawa mendapat layanan seperti selebriti dan kerap memberikan wawancara kepada media tempatan dan antarabangsa beberapa tahun selepas beliau pulang ke Jepun.
Karya lukisannya yang memaparkan wanita berbogel disiarkan dalam majalah tempatan dan pernah muncul dalam filem lucah serta menghasilkan buku komik manga yang menggambarkan jenayahnya dalam butiran grafik secara bersiri.
Kisah pembunuhannya itu turut tersiar dalam majalah Rolling Stones dan The Stranglers.
Sagawa menjalani tahun-tahun terakhir hayatnya bersama abangnya, dan dilaporkan hanya berkerusi roda selepas mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk strok. - AFP
SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.