Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan kes Pulau Batu Puteh pada 2018 atas alasan ia tidak boleh dimenangi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, bahawa Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab atas kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, mungkin ada benarnya, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.
Najib, dalam catatan Facebook baru-baru ini, bertanya siapakah yang menasihati Mahathir supaya menarik balik permohonan semakan kes berkenaan setelah Pakatan Harapan (PH) merebut Putrajaya kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, pentadbiran PH menulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menarik balik permohonan itu pada 28 Mei 2018.
Semakan kes itu difailkan pada Februari 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ramasamy berpendapat, PH sepatutnya merayu keputusan terdahulu ICJ.
“Mahathir diberi nasihat yang salah bahawa Malaysia tidak berpeluang memenangi rayuan itu dan bahawa kos rayuan terlalu tinggi,” katanya dalam catatan Facebook.
Katanya, bukan terletak pada Mahathir untuk memutuskan sama ada permohonan semakan boleh dimenangi atau tidak.
“Bukan terletak pada kerajaan PH mahupun Mahathir untuk membuat keputusan menentang rayuan tersebut atas alasan tiada peluang menang.
“Mereka sepatutnya membiarkan ICJ atau Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai rayuan itu. Mana tahu, Malaysia mungkin menang,” katanya.
Ramasamy berkata, mengapa hal ini dirujuk kepada ICJ dari awal masih menjadi misteri.
“Mahathir mesti menjawab persoalan mengapa perkara ini dirujuk bersama kepada ICJ sedangkan ada jalan diplomatik lain yang boleh diambil.
“Memandangkan Singapura mendapat banyak manfaat daripada hubungan jangka panjangnya dengan Malaysia, ini dapat digunakan secara diplomatik untuk mendapatkan pulau tersebut.
“Saya diberitahu, walaupun Malaysia mempunyai kes yang kuat dan mungkin dapat menang, fakta yang dibentangkan tidak kukuh dan tidak kompeten.
“Mahathir harus jawab kegagalan besar ini,” katanya.
Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji kes Pulau Batu Puteh.
Pasukan petugas berkenan akan meminta pandangan pakar undang-undang antarabangsa mengenai permohonan menyemak semula keputusan ICJ.
Bagaimanapun, Ramasamy ragu-ragu pasukan petugas “yang ditubuhkan secara terburu-buru” itu dapat mengatasi masalah tersebut.
“Pasukan petugas mengenai Pulau Batu Puteh nampaknya bermotifkan politik berbanding benar-benar mahu menangani isu ini,” katanya.
FMT
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.