Disuntik Vaksin Covid-19 Campuran Sinovac dan AstraZeneca, Seorang Lelaki Thailand Alami Pendarahan Otak Hingga Meninggal Dunia
Bangkok: Siasatan dilakukan terhadap kematian seorang lelaki berusia 39 tahun selepas seminggu menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 menggunakan jenis vaksin berbeza.Supoj Prasarnchue dari daerah Bua Yai meninggal dunia pada 7 Oktober lalu di hospital.
Dia menerima dos pertama dari vaksin Sinovac pada 30 Ogos.
Pada 30 September, dia mendapat suntikan dos kedua dari vaksin AstraZeneca.
Selepas menerima dos kedua, dia kemudiannya mengalami sakit kepala dan demam.
Pada 4 Oktober, mangsa menghubungi ibunya, Nattha Nawo dan memaklumkan dia tidak sihat. Ahli keluarga membawanya ke hospital untuk rawatan.
Melalui imej X-ray, dia dipercayai menghadapi pendarahan pada otak dan ditempatkan di unit rawatan rapi selama tiga hari.
Namun, dia meninggal dunia pada 7 Oktober lalu, lapor Bangkok Post.
Ketua Kesihatan Awam Nakhon Ratchasima, Dr Narinrat Phitchayakhamin berkata, dia telah mengarahkan pegawai kesihatan daerah dan Hospital Bua Yai untuk menjalankan siasatan ke atas kematian mangsa.
Katanya, ia mungkin mengambil masa tiga hingga empat minggu.
"Keluarga mangsa akan menerima pampasan. Ia adalah sebahagian polisi kementerian untuk memberikan pampasan kepada keluarga sekiranya berlaku kematian dalam tempoh tiga minggu selepas menerima vaksin Covid-19," katanya.
Katanya, pampasan berjumlah 400,000 baht (kira-kira RM50,000) akan diserahkan kepada keluarga mangsa minggu ini.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.