Seorang pelajar menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 3 Jun 2021. (Foto: Kementerian Pendidikan) |
SINGAPURA: Dalam usaha Singapura bergerak ke fasa endemik, suntikan vaksin tambahan COVID-19 setiap tahun adalah antara langkah yang mungkin diambil pemerintah. Demikian menurut Presiden Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) Dr Norhisham Main.
Beliau menambah bahawa pengambilan suntikan tambahan bagi lebih melindungi diri bukanlah sesuatu konsep yang asing.
Malah penggunaan jenis vaksin yang berbeza juga kemungkinan dilakukan untuk melawan varian-varian baru COVID-19 yang muncul pada masa depan.
"Kalau kita melihat dari segi virus flu, kita tahu tiap-tiap tahun mungkin kita akan mendapat suntikan vaksinasi.
"Tetapi kalau kita mengatakan dalam perjalanan kita untuk menjadikan pandemik COVID-19 menjadi endemik, ini antara langkah yang mungkin kita akan ambil di mana mungkin selain daripada suntikan tambahan, kita juga akan mengadakan perubahan dari segi jenis vaksinasi di mana kita boleh melawan varian-varian yang tertentu tiap-tiap tahun," jelas Dr Norhisham.
Minggu lalu (3 Sep), pemerintah mengumumkan akan menawarkan suntikan vaksin tambahan kepada golongan 60 tahun dan ke atas serta golongan dengan imun tubuh yang lemah seperti pesakit barah. Suntikan vaksin ketiga itu akan diberikan sekitar enam hingga sembilan bulan selepas mereka mengambil dos kedua.
Kohort pertama warga tua berusia 60 tahun dan ke atas yang sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin awal tahun ini layak untuk menerima suntikan ketiga dalam bulan September ini.
Bagi golongan dengan imun tubuh yang lemah pula seperti pesakit barah, mereka disarankan mengambil suntikan ketiga jenis vaksin yang sama dua bulan selepas menerima suntikan dos kedua.
Maka itu Dr Norhisham, yang juga Ketua Divisyen dan Konsultan Kanan Perubatan Paliatif Hospital Besar Ng Teng Fong, menekankan pentingnya orang ramai terutama golongan lebih berisiko, mengambil suntikan vaksin dan suntikan tambahan.
Selain dapat menghindar daripada jatuh sakit lebih teruk, pengambilan vaksin juga mampu mengurangkan komplikasi dan mempercepat proses penyembuhan daripada COVID-19.
KEMUNGKINAN BAYI BARU LAHIR DIBERI SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
Ditanya sama ada bayi-bayi juga mungkin perlu mengambil suntikan vaksin COVID-19 sebagai sebahagian daripada program imunisasi negara untuk bayi-bayi yang baru lahir, Dr Norhisham tidak menolak kemungkinannya pada masa depan."Pada masa sekarang bagi kaum wanita yang hamil, mereka boleh mendapatkan vaksinasi dan bagi mereka yang menyusukan anak, mereka juga boleh meneruskan untuk mendapatkan vaksinasi.
"Dan mereka pun mendapati antibodi yang dikeluarkan sesudah mereka mendapat vaksinasi boleh mempertahankan bayi-bayi yang disusukan. Saya rasa mungkin akan terjadi tetapi pada masa sekarang kita tak pasti kerana kita tak ada maklumat yang mencukupi. Tetapi ini mungkin satu hasrat yang kita impikan." tambah beliau.
Sehingga 5 September ini, 81 peratus penduduk Singapura sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.
Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.