Pembantu peribadi “Geng Nicky”, didakwa ubah wang haram

Picture
Nicky dengan bangganya bergambar dengan sejumlah besar Ringgit Malaysia di sebuah bilik. (Gambar WhatsApp)

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul, antara 2018 dan 2020.

Bagaimanapun tertuduh Lim Kang Li, 31, yang merupakan pembantu peribadi kepada ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Picture
Mencari publisiti, Nicky (kiri) dalam keadaan ceria ketika 2 pekerja (kanan) meletakkan timbunan bil RM di mesin pengira wang. (Tangkap Layar video)

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Kang Li didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM119,826.72 mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan keempat dan kelima Kang Li didakwa mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul dengan meninggalkan pendapatan berjumlah RM440,250 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM104,018.72 bagi tahun taksiran 2017 dan 2018.

Pendakwaan bagi kes tersebut dilakukan mengikut Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan dikenakan penalti khas sebanyak dua kali ganda daripada amaun, jika sabit kesalahan.


Sementara pertuduhan keenam wanita itu didakwa gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 77(1) akta sama bagi tahun taksiran 2019 tanpa alasan yang munasabah mengikut subseksyen 112(1) akta sama (Akta Cukai Pendapatan) yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Cawangan Duta (Penggajian), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Mei 2018 hingga pada 16 Mei 2020. – K! ONLINE.

SOURCE: Kosmo!

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.