Hak Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia wajar dipinda – Abdul Karim

Picture
ABDUL Karim Rahman Hamzah bercakap kepada media selepas menghadiri Dialog Seni Perdana di Kuchong hari ini.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)

Menteri Sarawak menyokong cadangan untuk mengemas kini definisi ‘pribumi’ dalam Perlembagaan Persekutuan

KUCHING: Perlembagaan Malaysia perlu dipinda terutama yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap menteri diberi tanggungjawab untuk melihat hal-hal berkaitan perlembagaan di peringkat Kerajaan Persekutuan akan mengkaji dan perhalusi pindaan berkenaan, terutamanya yang berkaitan hak-hak Sarawak yang banyak terhakis.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali semalam yang menyebut kerajaan Sarawak telah mencadangkan untuk membuat perubahan kepada definisi pribumi dalam Perlembagaan Malaysia untuk mencerminkan pelbagai kaum di Sarawak.


Abdul Karim juga bersetuju untuk definisi pribumi diperhalusi dan dikemaskinikan untuk mencerminkan pelbagai kaum yang berbeza di negara ini, khususnya di Sarawak.

Beliau berkata cadangan pindaan definisi pribumi dalam Perlembagaan Malaysia itu amat perlu sekali supaya etnik Sarawak tidak lagi disebut sebagai “lain-lain’ dan sepatutnya dihuraikan mengikut kaum.


“Signifikannya (pindaan definisi pribumi) sedikit sebanyak merupakan satu pengiktirafan kepada kaum-kaum yang ada di Sarawak kerana ketika ini mereka dianggap lain-lain,” kata katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Seni Perdana di sini hari ini.

Abdul Karim berkata beliau percaya tidak ada mana-mana kaum yang suka dianggap “lain-lain” memandangkan pada borang rasmi hanya tertera perkataan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.


“Dengan menyebut atau menyatakan kaum-kaum mereka ia akan membuat mereka rasa dihormati,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata masyarakat yang tidak memberi penekanan kepada kesenian dan kebudayaan merupkan masyarakat yang ketinggalan zaman.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya Majlis Seni Sarawak melaksanakan penstrukturan semula agar semua jenis seni termasuk penulisan, teater, lukisan, nyanyian dan tarian pelbagai suku kaum di negeri dapat dikekalkan.

Dengan berbuat demikian, katanya semua masyarakat dan etnik di Sarawak dapat merasakan bahawa mereka tidak ketinggalan serta mengangkat perpaduan ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus generasi baharu dapat mengekalkan tradisi kaum masing-masing.- UTUSAN ONLINE

SOURCE: Utusan

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.