Seawal 5 pagi, KLIA sudah mula dibanjiri penumpang yang perlu menjalani beberapa prosedur operasi standard (SOP) sebelum diberi kebenaran untuk berlepas. |
5 kes positif dikesan ketika mahu ke Langkawi
Sebanyak lima kes positif COVID-19 dikesan melalui saringan ujian RTK-Ag terhadap 2,528 yang mahu ke Pulau Langkawi hari ini, di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri di Kuala Perlis.Seramai 3,200 pelancong tiba di Langkawi melalui jalan udara dan laut pada Khamis sempena hari pertama pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi. Foto Bernama |
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi juga seramai 2,546 disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.
Katanya, ia membabitkan sejumlah 1,250 individu yang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 individu lagi melalui jeti feri di Kuala Perlis.
"Sejumlah enam individu sudah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang, dan kesemua keputusan adalah negatif.
"Baki 12 orang kanak-kanak bawah usia enam tahun tidak menjalani ujian COVID-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semua lima kes yang dikesan adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.
Katanya, kes itu diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.
Dr Noor Hisham berkata, daripada lima kes yang dikesan positif COVID-19 itu, empat di Selangor iaitu satu kes positif yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiga lagi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang manakala satu kes lagi dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Bagi kes di KLIA, tiga kontak rapat kes positif juga tidak meneruskan perjalanan manakala dua kontak rapat bagi tiga kes yang dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah juga berbuat demikian.
Dr Noor Hisham berkata, seiring dengan keputusan kerajaan memulakan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi hari, Kementerian Kesihatan (KKM) mula melaksanakan semakan ujian saringan COVID-19 dan juga ujian saringan COVID-19 bagi pelancong yang belum menjalankan ujian sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.
Beliau berkata, seperti yang ditekankan sebelum ini, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.
Katanya, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikannya berjalan lancar dan tidak menyebabkan peningkatan kes serta kluster baharu.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif COVID-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.
"Kejayaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik ini tidak hanya boleh bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu didokongi usaha sama oleh semua pihak dan lapisan masyarakat.
"Oleh itu, KKM ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling.
"Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, dan mencuci tangan dengan kerap. Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau selepas pulang dari Pulau Langkawi, segeralah dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan COVID-19," katanya.
Beliau berkata, jika penduduk negara ini mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengucapkan jutaan penghargaan atas kerjasama dan sokongan oleh pelbagai pihak dan agensi dalam merealisasikan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi.
Katanya, KKM juga akan sentiasa menambah baik dan memudah cara proses serta pelaksanaan pengujian itu dari semasa ke semasa supaya berjalan lancar dan berkesan.
SOURCE: Sinar Harian
Kongsikan artikel ini: