SEMAKIN ramai golongan ibu bapa di Singapura menghantar anak-anak menjalani rawatan mental. - GAMBAR HIASAN |
SINGAPURA: Lebih ramai ibu bapa di negara ini menghantar anak mereka bagi pemeriksaan kesihatan mental, dengan pakar psikologi berkata, jumlah itu naik sehingga 30 peratus pada bulan lalu.
Berita Mediacorp melaporkan, beberapa ibu bapa juga sedang mempertimbangkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sama sekali.
Ini menyusuli insiden melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Tinggi River Valley yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh rakan sekolahnya.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), kadar kehadiran di sekolah kekal stabil buat masa ini.
Namun begitu, ada segelintir ibu bapa sedang mempertimbangkan pilihan persekolahan di rumah sepenuhnya bagi anak mereka.
Ini disebabkan tekanan dihadapi anak mereka serta kesan insiden Sekolah Tinggi River Valley baru-baru ini.
Pakar psikologi, Dr. Shawn Ee memberitahu Mediacorp bahawa jumlah kliennya naik 50 peratus susulan kejadian sekolah River Valley itu.
Malah 20 peratus lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka berjumpa dengannya.
Seorang lagi pakar psikologi, Dr. Adrian Lim juga berkongsi bahawa beliau menyaksikan peningkatan 30 peratus ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan mental mereka pada bulan lalu.
Beliau menyifatkan kenaikan itu disebabkan lebih kesedaran mengenai kesihatan mental.
Bagaimanapun beliau mendapati kebanyakan ibu bapa meninggalkan anak mereka bersendirian bersamanya untuk meleraikan sebarang masalah yang dihadapi.
Walhal mereka sepatutnya duduk bersama anak-anak mereka menghadiri sesi-sesi tersebut.
Kedua-dua pakar menegaskan, komunikasi antara anak dengan ibu bapa perlu diadakan supaya kanak-kanak dapat berkongsi masalah mereka.