Long Tiger didakwa rogol wanita

Abdul Hamim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 21 tahun, dua tahun lalu.



MUAR – Seorang lelaki dikenali sebagai Long Tiger sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Muar di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berketurunan Rohingya, Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amran Jantan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa merogol seorang wanita berusia 21, di sebuah premis di Jalan Rambutan, Taman Sri Jaya Bukit Gambir, Tangkak.

Kesalahan itu dilakukan pada 26 September 2019 di antara pukul 1 petang hingga 2.05 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Abdul Hamim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 21 tahun, dua tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amira Natasha Azhar dan Muhammad Azfar Mahmod dalam prosiding mencadangkan agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan mengambil kira pembebasan tertuduh yang dikhuatiri boleh menganggu saksi utama pendakwaan selain isu kepentingan awam.

Bagaimanapun, barisan peguam bela, Datuk Shaharudin Ali; Muhammad Hariz Md. Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan mengambil kira tertuduh sebagai penanggung utama keluarga.

Mereka dalam hujahnya turut menyatakan isteri tertuduh yang kini hamil anak kedua dan sedang menjalani rawatan psikiatri yang mana sekiranya ditahan, ia memberi impak besar kepada keluarganya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan. Hakim kemudian menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.