Mboup mengenakan pakaian wanita dan memakai rambut palsu untuk menyamar sebagai teman wanitanya. -Oddity Central |
DIOURBEL, Senegal – Seorang lelaki ditahan selepas menyamar dan menduduki peperiksaan sebagai teman wanitanya, lapor laman Oddity Central kelmarin.
Khadim Mboup, 22 yang merupakan pelajar di Universiti Gaston Berger de Saint-Louis di Diourbel, Senegal berjaya memperdaya seluruh fakulti dan penyelia di Baccalaureate iaitu sebuah peperiksaan peringkat menengah apabila menyamar sebagai teman wanitanya.
Mboup memakai rambut palsu panjang yang dilindungi dengan menggunakan skaf tradisional,sepasang anting-anting, gaun, pakaian dalam wanita malah turut mengenakan solekan untuk menyamar sebagai teman wanitanya, Gangue Dioum.
Ketika rancangan pasangan kekasih itu mulai berhasil, salah seorang penyelia peperiksaan bagaimanapun mengesan sesuatu yang aneh tentang Mboup sebelum identiti sebenarnya didedahkan.
Pada 31 Julai lalu, polis dipanggil ke lokasi peperiksaan dan Mboup didakwa melakukan penipuan.
Dia kemudian membawa pihak berkuasa berjumpa dengan teman wanitanya yang sedang menunggu di dalam sebuah bilik motel yang disewa dan kedua-dua mereka ditangkap.
Mboup mengaku salah dan berkata dia melakukan perkara itu atas rasa cinta terhadap kekasihnya.
“Saya berbuat begitu kerana cinta dan teman wanita saya menghadapi kesukaran untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya.
Dia dan teman wanitanya dituduh melakukan penipuan dan bersiko dilarang mengambil peperiksaan Pendidikan Nasional bagi tempoh maksimum lima tahun, dilarang mengambil peperiksaan kelayakan atau diploma yang dikeluarkan institusi pengajian tinggi awam. – Agensi