Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim |
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Kabinet baharu yang dibentuk semalam hanyalah ‘kitaran semula’ Kabinet sebelum ini, yang tidak membawa perubahan diharapkan rakyat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, kebanyakan rakyat hampa dengan barisan Kabinet itu yang dikatakan tidak menunjukkan keupayaan dalam menyelesaikan masalah mereka sebelum ini.
Kabinet itu juga didakwa tidak mampu untuk menyuntik semangat baharu dan memberi keyakinan kepada pelabur dari dalam atau luar negara.
“Negara menghadapi krisis akibat COVID-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekan rakyat terutama golongan bawahan tetapi langkah yang diambil itu hanya kitaran semula menteri, yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini secara berkesan.
“Apa yang kita harapkan sekarang adalah perubahan, tetapi ini tidak berlaku. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) memberikan tempoh 100 hari untuk menteri menunjukkan prestasi, namun dalam satu setengah tahun yang lalu, tidak ada kemajuan yang membanggakan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui video di Facebook.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pembangkang akan terus memantau dan lantang menyuarakan bantahan jika Kabinet baharu itu tidak melaksanakan program yang lebih mantap serta berkesan menangani masalah COVID-19 dan membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, pula mendakwa Kabinet baharu itu lebih menjurus kepada survival politik, bukan untuk rakyat dan ekonomi.
“Lagu lama, cuma iramanya digubah kambali. Orang putih kata ‘old wine in a new bottle’. Satu perubahan yang tiada pengakhiran,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, jumlah keanggotaan Kabinet baharu itu hanya kurang seorang saja, berbanding Kabinet sebelum ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub |
Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengingatkan tiada tempoh ‘bulan madu’ untuk Jemaah Menteri baharu yang dibentuk semalam dalam melaksanakan tugas. Ini disebabkan kebanyakan anggota Kabinet itu mempunyai pengalaman sebagai menteri dan timbalan menteri sebelum ini.
Selain itu, mereka turut mempersoal beberapa pemimpin yang dilihat mempunyai komitmen untuk berkhidmat seperti Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak dilantik.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata semua menteri ‘tiada masa bulan madu’ untuk membuktikan prestasi mereka kepada rakyat,ketika negara memerlukan langkah pemulihan segera akibat pandemik COVID-19. Hampir semua yang dilantik ialah mereka yang pernah menjadi menteri atau timbalan sebelum ini.
“Jumlah ahli Jemaah Menteri juga sama seperti di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. Ini bukan satu perkara yang baik,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu kepada BH, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan anggota Kabinetnya, yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.
Ahmad Fahmi turut berpendapat, Perdana Menteri tidak mempunyai banyak pilihan dalam memilih anggota Kabinet, selain kemungkinan berdepan pelbagai tekanan dalaman daripada pelbagai pihak dalam parti.
“Selain itu, saya lihat seharusnya orang seperti Datuk Seri Azalina Othman dimasukkan (dalam Kabinet). Tapi sayang itu tidak berlaku. Saya harap kerajaan akan mempertimbang beliau (dilantik) sebagai Speaker (Dewan Rakyat),” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut berpendapat, tidak banyak perubahan yang dilihat pada Kabinet baharu itu, berbanding Kabinet sebelum ini.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh |
Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan peluang dibazirkan dengan tidak melantik beberapa pemimpin yang baik dan mempunyai komitmen untuk membina negara dalam Kabinet baharu itu.
Katanya, pemimpin berkenaan termasuk Azalina; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
“Mengapa lantik lagi Menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik? Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian daripada kerajaan ini”? katanya. – BH Online