WASHINGTON: Seorang wanita warga Texas yang sebelum ini enggan terima vaksin COVID-19, menggesa 4 anaknya disuntik, ketika berada di ambang maut akibat wabak itu.
Kematian guru piano, Lydia Rodriguez, 42, di bandar kecil La Marque pada Isnin lalu berlaku dua minggu selepas suaminya, Lawrence, 49, meninggal dunia akibat virus berkenaan.
Sepupunya, Dottie Jones, memberitahu stesen televisyen tempatan, ABC123 bahawa pasangan itu tidak percayakan vaksin dan sudah terlalu lewat ketika Rodriguez mengubah fikiran.
"Sebelum dia dimasukkan saluran pernafasan, antara perkara terakhir dimaklumkan kepada kakaknya adalah 'tolong pastikan anak saya divaksin'.
"Dia pasti masih bersama anak-anaknya jika menerima vaksin sebelum ini," katanya.
Lydia dan Lawrence Rodriguez dari La Marque, Texas baru-baru ini meninggal dunia akibat bertarung dengan COVID-19. Mereka meninggalkan 4 orang anak mereka. |
Setakat ini, hanya 59.6 peratus rakyat AS yang layak sudah menerima vaksin lengkap, ketika kempen imunisasi besar-besaran yang digerakkan kerajaan berdepan tentangan di negeri konservatif seperti Texas.
Di Texas, varian Delta kini menjadi strain dominan dan jumlah kes kematian melonjak dengan ketara, kebanyakannya dalam kalangan penduduk yang belum menerima vaksin.
Susulan lonjakan kes, pihak berkuasa AS meluluskan pemberian suntikan dos ketiga sebagai penggalak untuk semua penduduk dewasa negara itu, yang akan bermula hujung bulan depan.
Jones, yang juga seorang jururawat, berkata beliau dicuba meyakinkan Rodriguez untuk mendapatkan suntikan, namun tidak berjaya.
"Saya sangat kecewa apabila orang ramai masih percayakan maklumat salah yang sedang disebarkan. Maklumat salah ini meragut nyawa orang dan kita perlu menyebarkan kebenaran," katanya. - AFP