Blok pembangkang yakin tidak mungkin salah percaturan

SALAHUDDIN AYUB (kiri) dan AZIS JAMMAN



PETALING JAYA: Pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 dilihat tidak sama sekali menyerlahkan kegagalan blok pembangkang dengan UMNO kembali berkuasa.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kejayaan menjatuhkan blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mendapat sokongan majoriti dilihat berjaya, walaupun kita ada dengar beberapa ahli blok pembangkang tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini membuktikan blok pembangkang bersatu.

“Perkara ini menyedihkan kerana UMNO kalah dalam pilihan raya lalu dan ditolak rakyat dan apabila UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Keluar Pakatan Harapan (PH), maka PH tumbang.

“Lebih menyedihkan apabila UMNO pula tidak senada dan mengalahkan Bersatu setelah terancam dan mengakibatkan kuasa kembali kepada mereka.

“Malaysia sebagai negara demokrasi mempunyai kerajaan pimpinan PM-9 yang mengambil pemerintahan bukan melalui proses demokrasi, mengakibatkan Bersatu dijatuhkan.

Katanya kepada kerajaan baharu ini, majoriti diperoleh Datuk Ismail Sabri amat tipis dan pergolakan berlaku sepanjuang dua minggu ini bukan disebabkan pembangkang tetapi PN sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.

Ahli Parlimen Bera itu berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan sekaligus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, pembangkang perlu meneliti setiap perancangan dirangka, yang tidak semestinya berakhir jika sesuatu percaturan tidak berjaya.

“Pembangkang tidak silap dalam percaturan itu, namun apa yang berlaku itu telah dirancang oleh Pakatan Harapan (PH), maka kita perlu menghadapi segala kemungkinan sama ada menang atau kalah.

“Kita tidak perlu menyesali apa yang telah dibuat kerana pembangkang belum tewas di dalam peperangan sebenar,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.