Peringatan buat individu lengkap vaksinasi 'Jangan salah guna kelonggaran' - Dr Noor Hisham

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto FAIL NSTP



PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), salah guna kelonggaran yang diberikan serta penguatkuasaan sebagai isu dalam pengurusan krisis COVID-19.

"Isu kini adalah pematuhan (kepada SOP) dan (jangan) ada salah guna kelonggaran serta penguatkuasaan," katanya kepada BH hari ini.

Beliau diminta mengulas kelonggaran diberikan untuk individu lengkap vaksinasi, antaranya jumlah penumpang dalam kenderaan dibenar berdasarkan kapasiti tempat duduk bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kelonggaran itu dikhuatiri diambil kesempatan atau disalahgunakan untuk melakukan pergerakan walaupun tiada urusan penting.

Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran kepada individu lengkap menerima vaksinasi bukanlah tiket untuk mereka keluar rumah tanpa urusan penting.

Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran pergerakan, beliau menegaskan, orang ramai masih perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Beliau sebelum ini berulang kali mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP dan mengikuti norma baharu sekiranya terpaksa keluar rumah atas urusan penting.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis lalu, Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran beberapa kemudahan untuk individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan atas faktor ekonomi dan bukan kerana persekitaran sudah selamat daripada jangkitan COVID-19.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka termasuk yang dua lapis jika perlu, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan, elak berada di tempat sesak dan sempit, menjaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin.

Terdahulu, menerusi infografik dikongsi Majlis Keselamatan Negara (MKN), terdapat beberapa kemudahan tambahan untuk individu lengkap vaksinasi, antaranya membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk khusus bagi individu lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa 1 PPN.

Pergerakan rentas daerah dan negeri bagaimanapun masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh dan individu dengan mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

Infografik itu turut menyatakan hanya dua saja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

Selain itu, maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.