Dos ke-3 AstraZeneca tidak bahaya

Suntikan dos ke-3 vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca dilihat kurang berisiko untuk menyebabkan komplikasi darah beku berbanding suntikan pertama dan kedua.



LONDON: Suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca dilihat kurang berisiko untuk menyebabkan komplikasi darah beku berbanding suntikan pertama dan kedua.

Pasukan penyelidik di Yayasan Hospital NHS di Universiti Oxford yang mengkaji perkara tersebut memaklumkan suntikan dos ketiga AstraZeneca berkemungkinan mencetuskan ‘ancaman yang kecil’.

Penyelidik di yayasan tersebut kini sudah menetapkan garis panduan untuk membantu pakar perubatan melakukan diagnosis mengenai ‘vaccine-induced immune thrombocytopenia‘ dan trombosis (VITT)

Thrombocytopenia adalah keadaan di mana pesakit mempunyai jumlah sel darah merah yang rendah yang membantu pembekuan darah, dikenali sebagai platelet.

Trombosis pula berlaku apabila gumpalan darah menyekat urat atau arteri, selain menjadi penyebab utama serangan strok dan jantung.

Pakar hematologi, Dr. Sue Pavord berkata, suntikan dos ketiga AstraZeneca mungkin tidak menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Hal ini kerana, risiko pada suntikan dos kedua yang diberikan dalam tempoh lapan hingga 12 minggu sejak dos pertama sudah pun rendah.

“Jika mereka sudah mendapatkan suntikan pertama dan tidak membentuk trombosis, maka suntikan dos ketiga juga tidak akan mendatangkan kemudaratan besar,” katanya.

Namun, Pavord tidak menolak kemungkinan keadaan boleh menjadi bahaya, terutamanya kepada golongan muda.

Katanya, keadaan berbahaya sekiranya penerima vaksin mempunyai platelet darah rendah, selain memaklumkan VITT merupakan sindrom baharu dan banyak yang perlu dikaji untuk mendapatkan rawatan berkesan.

United Kingdom (UK) merekodkan sebanyak 411 kes VITT selepas suntikan vaksin AstraZeneca sehingga 28 Julai lalu dengan 43 kes berlaku selepas suntikan dos kedua.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.