Doktor perjelas pesakit Covid-19 ditidurkan

Prosedur pesakit Covid-19 ditidurkan.



PETALING JAYA – Beberapa doktor tampil menjawab tuduhan seorang pengguna media sosial yang menyifatkan pesakit Covid-19 ditidurkan sebagai perbuatan membunuh.

Pegawai Perubatan Kanan Kementerian Pertahanan, Leftenan Kol. Dr. Rusyainie Ramli berkata, pesakit Covid-19 terpaksa ditidurkan kerana paru-paru mereka sudah tidak mampu berfungsi dengan sendiri.

Beliau menjelaskan, dalam situasi tersebut, pesakit tidak mampu bernafas seperti biasa.

“Pernafasan pesakit mesti dibantu dengan mesin ventilasi dan jika pesakit tidak diberikan ubat mereka akan bergelut dengan tiub yang ada di dalam mulut dan tekak.

“Menuduh doktor yang merawat pesakit Covid-19 kategori 5 di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebagai suatu pembunuhan adalah tuduhan yang sungguh berat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.


Tangkap layar hantaran seorang pemilik akaun Instagram yang dipercayai antivaksin dan menyifatkan prosedur pesakit Covid-19 ditidurkan sebagai pembunuhan.
Tambah Dr. Rusyainie, pesakit kategori 5 mempunyai risiko kematian tinggi terutamanya jika belum divaksin dan mempunyai komorbid seperti penyakit kronik, obesiti atau hamil.

“Pemergian arwah Siti Sarah dan puluhan ibu hamil lain akibat Covid-19 adalah kehilangan buat keluarga dan kesedihan itu dirasai kita juga.


“Mengapa kematian sebegini pilu ditunggang oleh makhluk seperti dia untuk menyebarkan dakyah sejahat ini?,” ujarnya yang juga Ahli Medical Mythbuster Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Medical Mythbuster Malaysia, Dr. Sakinah Sulong menjelaskan, banyak nyawa dapat diselamatkan setelah mendapat ventilasi oksigen di ICU.


“Ditidurkan atau ventilated bukan bermaksud untuk membunuh pesakit. Doktor yang merawat arwah Siti Sarah sendiri tahu apa yang mereka usahakan untuk menyelamatkan nyawa arwah dan memastikan bayinya turut selamat,” tulisnya.

Terdahulu, pemilik akaun Instagram itu mendakwa, ada rakan sepejabatnya yang meninggal dunia akibat Covid-19 dan menerima vaksin dengan kebanyakan ditidurkan sebelum menemui ajal.


“Al-Fatihah Siti Sarah. Saya tidak setuju bila dia ditidurkan. Ini adalah pembunuhan. Semua yang ditidurkan kembali ke rahmatullah. Sangat mengecewakan prosedur Kementerian Kesihatan,” tulisnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.