6 negeri mula catat penurunan jangkitan COVID-19

Orang ramai di Malaysia kelihatan memakai pelitup di tengah pandemik COVID-19. (Gambar: REUTERS)



KUALA LUMPUR: Jangkitan COVID-19 kategori tiga hingga lima menurun di enam negeri selepas liputan dos lengkap vaksin penduduk dewasa melebihi 40 peratus.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkembangan positif kesan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula dilihat di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, Labuan mencatat sifar kes COVID-19 buat pertama kali sejak pandemik itu dikesan di wilayah itu yang kini mencatatkan 88.1 peratus penerima dos lengkap vaksin, bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

"Pada masa sama, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan situasi di jabatan kecemasan di hospital Lembah Klang juga bertambah baik.

"Contohnya, purata pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Lembah Klang sudah menurun.

"Pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan ialah 909 orang. Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berharap agar trend penurunan itu akan berterusan, sekali gus dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU).

Bagaimanapun, beliau mengingatkan di sebalik penurunan kes baharu itu, kapasiti pesakit di ICU masih penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU jauh lebih rumit dan memerlukan tempoh lebih panjang, berbanding di wad biasa.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai, khususnya ibu hamil dan remaja yang layak menerima vaksin seperti diputuskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan masing-masing. "Majikan juga perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka, termasuk pekerja warga asing, mendapat vaksinasi," katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.