Kenapa penting ambil dos penggalak sebelum 1 April? Ini saranan pakar kesihatan

Kenapa penting ambil dos penggalak sebelum 1 April? Ini saranan pakar kesihatan Dr Shamsul tidak menolak kemungkinan kadar peratusan rendah dalam pemberian dos penggalak berlaku berikutan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat dan mereka tidak mendapat maklumat yang tepat. - Gambar fail

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



KUALA LUMPUR: Proses pemulihan ekonomi dijangka berdepan impak yang signifikan jika sekitar 7.5 juta penduduk dewasa Malaysia yang menerima dua dos suntikan vaksin berdepan dengan penukaran status vaksinasi kepada tidak lengkap, menjelang peralihan fasa endemik bermula 1 April ini.


Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berpandangan, masyarakat juga berdepan risiko untuk terdedah dengan jangkitan COVID-19 memandangkan kadar keberkesanan vaksinasi dua dos kemungkinan sudah mula merosot.

Justeru, beliau berkata masyarakat perlu mengambil perhatian berhubung perkara itu, selain tidak mensia-siakan kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan.



"Kalau dilihat dari perspektif kesihatan atau kawalan risiko kesihatan, pengambilan dos penggalak amat penting. Bukan hanya di negara kita, tetapi kita juga dapat lihat sejak kebelakangan ini beberapa buat negara di Eropah dan beberapa buah negara seperti Taiwan dan China telah menunjukkan kadar kematian harian yang tinggi terutama dalam kalangan warga emas yang tidak mengambil dos penggalak.

"Ini amat merisaukan walaupun virus pada ketika ini amat ditakuti ialah varian Omicron, yang mana kita tahu kesannya sangat kecil tetapi mungkin daripada proses vaksinasi dos pertama dan kedua itu, keberkesanannya sudah mula merosot.


"Dalam banyak kajian juga telah membuktikan bahawa suntikan pertama dan kedua itu mempunyai tempoh ketahanan yang agak terhad. Oleh sebab itu, ia amat penting dan kritikal terutamanya bagi golongan warga emas dan komorbiditi untuk mengambil suntikan dos penggalak," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul tidak menolak kemungkinan kadar peratusan rendah dalam pemberian dos penggalak berlaku berikutan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat dan mereka tidak mendapat maklumat yang tepat.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai keadah untuk menggalakkan pemberian dos penggalak termasuk menyedia kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan janji temu melalui MySejahtera.


"Ini merupakan cabaran utama kepada KKM pada masa kini.

"... dan untuk jangka masa yang panjang, saya juga percaya pihak KKM sudah boleh mula memberitahu kepada masyarakat bahawa mungkin pengambilan dos atau vaksinasi COVID-19 juga perlu dilakukan secara tahunan," ujarnya lagi.

Sebelum ini, KKM memaklumkan penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin, diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata orang ramai kini boleh membuat janji temu suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, menerusi Booking Management System dalam aplikasi MySejahtera untuk tempahan slot bermula 21 Mac ini di seluruh negara.

Ia bertujuan meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan suntikan dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia, sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan 2) bagi yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini.

SOURCE: Awani

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.