'Saya jahil, mohon maaf Raja Farah, suami' - Fauzi

Picture
Fauzi mengakui kesilapannya mengheret nama Raja Farah dalam sesi temu bual program, namun, akibat terlalu teruja berkongsi pengalaman sehingga terlepas menyebut nama pelakon wanita itu. - Foto IG Fauzi Nawawi

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)

Saya jahil – Fauzi Nawawi mohon maaf isu adegan rogol Raja Farah

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauzi Nawawi, 48, mengakui kesal keterlanjuran kata-katanya dalam sebuah program televisyen (TV) berkongsi pengalaman melakukan adegan rogol membabitkan Raja Farah dalam filem Anak Halal.

Bagaimanapun, Fauzi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Raja Farah, suami dan keluarga menerusi hantaran dalam Instagram (IG), semalam.



Nama suami kepada pelakon Lisdawaty itu menjadi tular menerusi laman Twitter susulan keterujaannya berkongsi pengalaman melakukan adegan rogol dalam filem arahan Osman Ali yang ditayangkan pada 2007. Sedutan video itu sudah diulang ciapan hampir 7,000 kali.


Fauzi mendakwa, babak rogol itu tidak ditayangkan dalam filem atas permintaan keluarga Raja Farah.

Bagaimanapun, tindakan Fauzi menceritakan secara terperinci mengenai adegan 'panas' bersama Raja Farah menimbulkan kemarahan netizen kerana disifatkan tidak menjaga aib pelakon wanita yang sudah bertudung dan berumahtangga.

Malah, netizen mendakwa Fauzi merendahkan dan tidak menghormati martabat kaum wanita apabila begitu teruja berkongsi pengalaman menjayakan adegan rogol, lebih mengaibkan, Fauzi mengaku ia watak paling digemari dalam kerjayanya.

"Saya ingin minta maaf kepada yang menyebarkan video program berkenaan hingga kecoh dalam sosial. Program ini sudah lama ditayangkan, tetapi baru kini tular, jadi saya tidak tahu apakah tujuannya.


"Apa yang ingin saya katakan, saya minta maaf kepada mereka yang tersinggung, khususnya Raja Farah, suami dan seluruh keluarganya. Saya minta maaf lambat memuat naik permohonan maaf kerana sibuk dengan kerja dan hanya mengetahui berita ini pada sebelah malam.

"Saya terkejut menerima banyak komen dan mesej langsung memaki hamun dengan kata-kata kesat sehingga terpaksa menutup ruangan komen berikutan sedang berkerja dan membabitkan babak berat.

"Saya terima segala kecaman dengan lapang dada, walaupun kusut memikirkannya," kata Fauzi dalam video berdurasi lebih 4 minit itu.

Picture
Fauzi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Raja Farah, suami dan keluarga menerusi hantaran dalam IG, semalam. - Foto IG Fauzi Nawawi

Pelakon filem Munafik 2 dan Polis Evo 3 itu berkata, rakaman program berkenaan dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tahun lalu.

Namun, katanya, sebaik habis rakaman, dia meminta pihak produksi memotong bahagian yang boleh menimbulkan sensitiviti dan tidak bersesuaian.


Mengakui kesilapannya, Fauzi berkata, dia tidak sepatutnya mengheret nama Raja Farah dalam sesi temu bual bersama Khir Rahman dan Shuk Sahar itu, namun, akibat terlalu teruja berkongsi pengalaman sehingga terlepas menyebut nama pelakon wanita itu.

Fauzi Nawawi tiada niat malukan Raja Farah

"Saya akui kesilapan saya kerana tidak mampu mengawal kata-kata ketika sedang bersembang sehingga terlepas menyebut nama Raja Farah ketika mereka bertanyakan watak yang dibawakan.

"Selepas habis rakaman, saya tersedar ada bahagian yang patut dipotong dan meminta pihak produksi memotong mana yang patut, tetapi malangnya ia tidak dilakukan dan program ini sudah ditayangkan dua kali. Tetapi, entah kenapa baru sekarang rakaman ini menjadi kecoh.

"Ini salah saya. Saya jahil dan akan memperbaiki diri saya menjadi lebih baik. Kepada suami Raja Farah, saya mohon maaf. Saya tiada apa-apa niat, tidak mahu lagi perkara ini dipanjangkan," katanya.

Fauzi kesal dengan tindakannya turut memaafkan netizen yang memaki hamun keluarga, ibu dan anak-anaknya dan menganggap mereka prihatin dan sayang kepadanya.

"Semua teguran atas kesilapan saya sama ada baik atau kasar, saya terima dengan rela hati. Kepada Raja Farah, saya mohon maaf sekali lagi," katanya.

Picture
Raja Farah memuat naik video penjelasan daripadanya dan suami mengakui sangat terkesan dengan video yang tular kerana membuka aib dan rasa tidak dihormati sebagai wanita yang sudah berkahwin. - Foto IG Raja Farah

Sementara itu, Raja Farah turut memuat naik video penjelasan daripadanya dan suami, Iskandar Ismail mengakui sangat terkesan dengan video yang tular kerana didakwa membuka aib dan membuatkan dirinya rasa tidak dihormati sebagai wanita yang sudah berkahwin.



Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak mahu memburukkan keadaan, sebaliknya berlapang dada dengan apa yang berlaku. Dia juga memahami kekhilafan manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Saya amat terkesan kerana ia seperti membuka aib. Ia juga membuatkan saya rasa tidak dihormati sebagai isteri yang ada suami. Saya minta pendapat suami dan berharap tiada perbalahan yang timbul.

"Jangan ada pihak cuba memburukkan lagi keadaan. Kami berlapang dada, sebaiknya pihak yang berkata-kata boleh memohon maaf. Jika tidak secara terbuka tidak mengapa, sebaliknya carilah kami untuk menyampaikan permohonan maaf.


"Saya dan suami faham sebagai sebagai manusia, kita tidak lepas melakukan kesilapan dan terlanjur kata," ujar Raja Farah.

Iskandar pula dalam video berkenaan mengakui, kesal dengan apa yang berlaku dan menganggap perbuatan itu adalah salah semua peringkat kerana tidak menjaga aib serta kehormatan wanita.

Katanya, dia faham keterujaan Fauzi berkongsi pengalaman berkaitan karya seni, tetapi dia tidak sepatutnya perkara yang boleh mengaibkan golongan wanita.

"Sebenarnya, kami tidak perlu respon terhadap video yang tular kerana ia memalukan. Tetapi, perlakuan pelaku berkenaan salah dalam semua sudut.

"Yang pertama tidak menjaga aib dan kehormatan wanita dan ia berlaku kepada isteri saya. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, tetapi pelakon itu tidak sepatutnya mengungkapkan kata-kata berkenaan pada wanita muslim.

"Dari sudut budaya dan agama, tidak betul, lebih lagi, pada wanita yang sudah berkahwin. Dia sepatutnya menjaga aib.

"Hal kedua, sebagai suami apabila mengetahui rakaman ini tular, ia janggal untuk saya respon. Cukup memalukan buat kami. Ungkapan pihak yang bercakap ini umpama orang jahil dan tidak mungkin akan ungkapkan perkataan ini kepada adik, kakak mahupun ibunya," kata Iskandar.

Tambah Iskandar lagi, dia terpaksa bersuara kerana enggan menjadi fitnah dan berpanjangan.

"Saya mendoakan orang yang bercakap hal demikian, mungkin dia jahil atau tidak sengaja. Saya yakin, saat ini dia mungkin sudah menyesali perbuatannya, tetapi kami berlapang dada walaupun isteri sedikit terkesan.

"Kami ingin menghentikan perkara ini memandangkan ia sudah diulang ciapan antara 6,000 sehingga 7,000 kali," katanya.

SOURCE: BH

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.