Pelakon Bollywood Sidharth meninggal dunia di usia 40 tahun

Sidharth Shukla berjalan di karpet merah semasa Anugerah Paling Bergaya HT Mumbai 2017 di Mumbai, India.

Mumbai: Pelakon dan pengacara Sidharth Shukla, 40, meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.

Menurut laporan, dia dikejarkan ke hospital pagi semalam, namun tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhirnya.


Menurut kenyataan stesen Colors TV tempatnya bekerja, pemergian Sidharth satu kehilangan besar untuk mereka dan seluruh industri Bollywood.

"Kami di Colors sangat berduka dan bersedih terhadap pemergian mengejut anggota keluarga kami, Sidharth Shukla. Dia semestinya akan sangat dirindui.

"Pemergiannya adalah kehilangan yang tiada galang gantinya untuk kami dan seluruh industri," kata kenyataan itu.


Pemergiannya jelas ditangisi warga industri hiburan Bollywood. Rata-ratanya terkejut dan kini berkabung dengan kematiannya.

Pelakon gandingannya dalam filem Humpty Sharma Ki Dulhania, Alia Bhatt menyifatkan Sidharth adalah seorang rakan artis yang sangat menyenangkan.


"Sid (Sidharth) seorang yang sangat mesra, baik hati dan jujur yang saya pernah kerja bersama. Dia sentiasa tersenyum dan bersikap positif," katanya.

Sidharth memulakan kerjaya sebagai model sebelum menceburi bidang filem dan TV. Dia juga adalah pengacara India's Got Talent dan pernah menyertai program realiti Bigg Boss 13 dan Fear Factor.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.