Dewan Rakyat: Najib pertahan GST, saran kerajaan laksana secepat mungkin
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas negara pulih daripada kesan COVID-19.Datuk Seri Najib Razak (BN-PEKAN) berkata, GST mampu membantu kerajaan mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.
Najib berkata pelaksanaan cukai GST mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan serta mengukuhkan fiskal kerajaan - Gambar BERNAMA
Katanya, GST ialah cukai penggunaan ataupun 'consumption tax' bermaksud lebih tinggi perbelanjaan seseorang, lebih tinggi jumlah bayaran cukai berkenaan.
"Dengan GST, golongan kaya dan berkemampuan yang akan berbelanja lebih, akan membayar lebih GST.
"GST juga akan menyasarkan ekonomi gelap dengan saiznya sebesar RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas dari membayar apa-apa cukai.
"Dengan GST, saiz ekonomi gelap dapat dikuncupkan, yakni dianggarkan dari 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 10 peratus," katanya ketika berbahas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Najib Razak bercakap semasa gilirannya untuk membahaskan usul ucapan terima kasih dan ucapan kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, Kuala Lumpur, 15 September 2021. - Gambar Bernama
Najib berkata, kutipan hasil GST boleh diagihkan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar, berbanding nilai GST yang dibayar mereka.
Beliau turut mencadangkan Malaysia menarik semula perhatian dan minat dunia, selain usaha membina semula hubungan antarabangsa dengan ekonomi besar yang terkesan, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Najib mencadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura diteruskan semula. -
Katanya, visi, misi dan projek seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang bakal menghubungkan dua ekonomi terbesar ASEAN perlu disambung semula mengikut konsep dan perancangan asal.
"Di samping memberi nafas baru kepada koridor selatan Semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan sebagainya. "Semasa pembinaan projek HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. "Selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar USD1.6 bilion setahun mengikut kaji selidik Institut Pembangunan Ekonomi Jepun dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura.
"Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak 'viable' atau berdaya maju dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion," katanya.
Beliau menegaskan mengembalikan semula projek HSR kepada perancangan asal juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV).
"Saya mencadangkan tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan diberikan kepada tabung seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
"Kedua-dua badan ini terbukti dapat bekerjasama dengan baik sehingga menjayakan pembangunan projek Battersea di London.
"Projek ini juga boleh dijayakan secara usahasama dengan pelabur Singapura memandangkan HSR berhubung dengan negara itu, jika KWSP dan PNB berpendapat ia memberi kelebihan," katanya.
Beliau berkata, Bandar Malaysia boleh dijenamakan semula sebagai Bandar ASEAN supaya meletakkan Malaysia menjadi pusat kepada ASEAN dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa.
Najib turut mencadangkan konsep 'Pandang ke Borneo' bagi pembangunan Sabah dan Sarawak dalam RMK-12 dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjur lebih tinggi, berbanding purata Malaysia.
Turut dicadangkan semakan semula RMK-12 setahun selepas pelaksanaannya supaya ia lebih tepat dan berdasarkan kepada keadaan sebenar semasa negara.
"Ini kerana hakikatnya, kita sudah terlewat setahun membentangkan RMK-12 yang merangkumi tempoh tahun 2021 hingga 2025, memandangkan kita kini sudah sampai ke penghujung tahun 2021," katanya.
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.