Wanita dilindungi semasa siasatan keganasan rumah tangga

WANITA tidak perlu takut untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana mereka dilindungi undang-undang sepanjang siasatan kes. - GAMBAR HIASAN



SAUDARA PENGARANG,

KEGANASAN rumah tangga menunjukkan peningkatan yang ketara ketika pandemik Covid-19. Menurut Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, sebanyak 902 kes direkodkan melalui Talian Kasih dalam tempoh empat bulan pertama 2021 sementara jumlah aduan bagi kes sama sepanjang 2020 ialah 2,540 kes.

Kes yang telah dibuka kertas siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tempoh sama ialah 5,260. Dalam pada itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pula merekodkan 412 kes antara Januari dan April tahun lalu. Statistik ini menunjukkan menangani keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama dan intervensi pelbagai pihak.

Beberapa kejadian termasuk kes pukul, dera dan bunuh pasangan memberi petunjuk tentang peri pentingnya sokongan dan perlindungan formal dan tidak formal disediakan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Sokongan dan perlindungan formal merujuk kepada bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berwajib seperti peruntukan dan pelaksanaan undang-undang yang khusus, respons kepada pengadu dengan mengambil kira ancaman yang mungkin berlaku dan tindakan segera serta tegas terhadap pemangsa apabila berlaku aduan.

Kajian Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (Kanita), Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2014 mendapati sembilan peratus wanita yang pernah berpasangan di Semenanjung mengalami masalah keganasan rumah tangga pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Ini bermaksud lebih 800,000 wanita berkemungkinan besar mengalami situasi ini, namun kebanyakan mangsa tidak membuat laporan polis dan kitaran keganasan ini akan berulang sehingga kesan trauma menjadi tidak terkawal.

Apa yang perlu dilakukan oleh mangsa keganasan yang ingin mendapatkan perlindungan sekiranya berada dalam situasi ini?

Pertama, membuat laporan polis bagi mendokumentasikan segala ancaman dan tekanan yang dilakukan oleh pelaku. Semasa siasatan dijalankan, mangsa boleh memohon Perintah Perlindungan Interim (PPI) di Mahkamah Majistret. Jika pendakwaan dibuat terhadap pelaku, mangsa boleh memohon Perintah Perlindungan (PP) dan perintah ini dikuatkuasakan sepanjang proses pendakwaan berlangsung terhadap pelaku.

Untuk mendapatkan perlindungan lebih cepat, mangsa boleh memohon Perintah Perlindungan Kecemasan (PPK) yang dikeluarkan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat tanpa laporan polis atau membuat permohonan di mahkamah. PPK berkuat kuasa selama tujuh hari. Setiap perintah perlindungan ini mengandungi hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika pelaku melanggar perintah tersebut.

Untuk mengurangkan risiko amalan keganasan berleluasa pula, penggunaan Model Ekologi Sosial (SEM) mampu bukan sahaja untuk mengenal pasti faktor individu berisiko melakukan keganasan malah dapat melindunginya daripada melakukan keganasan.

Strategi pencegahan boleh dilakukan pada empat peringkat iaitu individu, perhubungan, komuniti dan masyarakat. Penggunaan model ini adalah komitmen kita untuk mendidik masyarakat secara berterusan mengenai peri pentingnya menghormati pasangan atau golongan wanita secara amnya dan menolak segala bentuk keganasan sama ada di peringkat interpersonal, keluarga dan masyarakat.

PROF. MADYA DR. NOR HAFIZAH SELAMAT, Bahagian Antropologi & Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.