Vaksin ChulaCov19 hasilkan imuniti setanding Pfizer

Dr. Ruxrungtham menyuntik vaksin ChulaCov kepada sukarelawan bagi ujian klinikal fasa satu vaksin itu Mei lalu. -Thai PBS World




BANGKOK – Ketua penghasilan vaksin ChulaCov19 berkata bahawa vaksin buatan Thailand itu menghasilkan tahap imuniti sama seperti dos Pfizer/BioNTech dan berupaya memberi perlindungan terhadap empat varian utama Covid-19, lapor laman berita Nation Thailand semalam.

Pengasas Pusat Penyelidikan Vaksin Chula, Dr. Kiat Ruxrungtham mendedahkan hasil ujian klinikal fasa satu ChulaCov19 yang merupakan vaksin teknologi mRNA pertama di Asia Tenggara dalam sidang akhbar menerusi laman Facebook Hospital Chulalongkorn.

Seramai 36 sukarelawan berumur antara 18 tahun hingga 55 tahun diberikan dua dos vaksin tersebut. Mereka tidak mengalami kesan sampingan serius selepas tujuh hari.

Sebahagian daripada sukarelawan itu bagaimanapun, mengalami kesan sampingan ringan atau sederhana dan pulih selepas satu hingga tiga hari.

Menurut Dr. Ruxrungtham, ChulaCov19 merangsang tahap imuniti berasaskan antibodi sama seperti keupayaan vaksin mRNA lain seperti Pfizer/BioNTech dan Moderna dan menghasilkan perlindungan jauh lebih tinggi terhadap varian asal Covid-19.

Seorang petugas menyuntik vaksin ChulaCov kepada sukarelawan bagi ujian klinikal fasa satu vaksin itu Mei lalu. -Thai PBS World
Tindak balas antibodi yang tinggi ini juga mampu menghalang penularan empat varian berbahaya Covid-19 iaitu Alpha, Beta, Gamma dan Delta.

ChulaCov19 juga merangsang kekebalan sel T yang membantu menghilangkan dan mengawal virus dalam sel pesakit yang dijangkiti.

Percubaan fasa kedua terhadap sukarelawan akan bermula sekitar 25 Ogos ini.

Dr. Ruxrungtham menjangkakan ChulaCov memasuki fasa kegunaan awam pada April 2022.

Penyelidik akan memindahkan teknologi tersebut kepada syarikat Bionet Asia untuk pengeluaran secara besar-besaran secepat yang boleh.

Vaksin ChulaCov19 boleh disimpan pada suhu sejuk antara 2-8 darjah Celsius selama tiga bulan dan suhu bilik iaitu 25 darjah Celsius selama dua minggu. -Agensi

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.