Tidak teragak-agak tarik semula kemudahan jika berlaku perlanggaran SOP

MUHYIDDIN YASSIN



PUTRAJAYA: Kerajaan tidak teragak-agak menarik semula kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada individu vaksinasi lengkap sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko.

Ini termasuk, kata beliau, tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

“Dalam pada kemudahan-kemudahan ini diberikan, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas.

“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik. Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.