Keadaan rak beras di pasar raya Lotus di Bangkok pada Mac tahun lalu. -Pitstinee Jitpleecheep / Bangkok Post |
BANGKOK – Thailand berdepan kemungkinan kekurangan bekalan makanan apabila kilang pemprosesan makanan ditutup dan pekerja yang dijangkiti Covid-29 tidak dibenarkan bertugas, lapor Thaiger News kelmarin.
Pasar dan pasar raya mula menunjukkan penyusutan stok selepas hampir 100 buah kilang makanan seluruh negara ditutup separuh atau sepenuhnya dengan kapasiti pengeluaran dikurangkan.
Beberapa pasar juga terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan makanan untuk dijual.
Di beberapa buah pasar awam pula, banyak gerai yang ditutup dan gerai yang masih dibuka pula sering kehabisan stok makanan dan tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.
Keadaan itu juga menyebabkan harga makanan meningkat dengan seorang penjual tempatan berkata harga seekor ayam meningkat sekurang-kurangnya lima baht (RM0.63) susulan isu tersebut.
Bekalan keperluan asas seperti daging, mi, susu, telur, snek, sos, gula-gula, sosej dan makanan segera juga semakin sukar didapati.
Menurut Presiden Persatuan Pemprosesan Makanan Thailand, kilang pemprosesan makanan berusaha untuk terus beroperasi dan dalam masa sama terus menjaga keselamatan pekerja daripada wabak Covid-19, menggunakan teknik Bubble and Seal yang ‘melindungi’ pekerja yang dijangkiti.
Presiden Persatuan Perdagangan Borong dan Runcit Thailand pula mengatakan bahawa banyak kilang memproses makanan telah menyaksikan penurunan kapasiti pengeluaran antara 20 hingga 30 peratus.
Pengurangan itu menjejaskan permintaan yang meningkat bagi barang keperluan makanan kerana sebahagian besar Thailand berada di dalam perintah berkurung separa. -Agensi