Anggota bomba membawa turun mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri di atas pokok kelapa di Kampung Baru Batu 18, Padang Besar pada semalam. |
PADANG BESAR – Seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia di atas pokok kelapa akibat serangan jantung dalam kejadian di Kampung Baru Batu 18 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar menerima maklumat tentang seorang lelaki pengsan di atas pokok kelapa kira-kira pukul 5.23 petang.
“Mangsa dibawa turun oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar pada pukul 6.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Padang Besar,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa mengambil upah memanjat pokok kelapa untuk mengambil buah muda.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tuanku Fauziah mendapati punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung,” tambahnya.