KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Vicha menzahirkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham Siti Sarah yang telah menempah khas busana Muslimah buat dirinya. |
Dalam perkongsian panjang lebar di Instagram Vicha memberitahu, selepas memakai busana buatan penyanyi Semakin itu dia kini lebih yakin dan selesa berhijab.
“Walaupun kita tidak serapat apa tapi saya tahu kakak orang yang sangat baik. Kakak buat baju @lovetahq yang sangat cantik dan saya hanya komen dekat Instagram kakak bertanya ada saiz besar? Kakak terus mesej saya untuk ditempah khas.
“Ya Allah akhirnya saya dapat juga merasa pakai baju kakak yang cantik dan kalau boleh jujur di sini selepas pakai baju kakak, saya tengok cermin rasa percaya diri dan nyaman menggunakan hijab.
“Sebelum ini selalu tidak pernah yakin bila guna hijab sebab rasa bulat tapi Subhanallah tidak tahu kenapa ada tergerak hati untuk gunakan hijab pada saat saya pakai baju kakak,” luah Vicha jujur.
Dalam luahan Vicha pada lewat malam tadi, penyanyi Kesetiaan itu seorang yang ceria dan sepinya tanpa perkongsian entri oleh Sarah membuatkan Vicha terasa kosong.
“Sebelum ini setiap perkongsian kakak lalu saja di IG, saya pasti tekan like kerana suka kandungan yang selalu ceria. Sudah beberapa hari ini saya selalu tunggu tapi tiada.
“Malam ini saya skrol IG kakak satu per satu, lihat video tiba-tiba saya menangis tidak tahu kenapa. Kita semua rindu suara kakak, kita semua sayang kakak,” coretnya.
Untuk rekod, Sarah meninggal dunia selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat Covid-19 sekitar pukul 5.13 pagi ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).