SEMUA pihak perlu bersatu dan tegas dalam menghadapi masalah norma baharu dalam pembelajaran secara ODL. |
SAUDARA PENGARANG,
NORMA baharu di musim pandemik memaksa pelajar dan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) menjalani sesi pembelajaran secara jarak jauh (ODL). Walaupun canggung pada mulanya, kini pelbagai kaedah pembelajaran tersebut berjaya diaplikasikan oleh warga universiti.
Namun, kini timbul pula isu lain. Ramai pelajar universiti didapati tertekan dengan kaedah ODL. Terbaru, kita dikejutkan dengan pemergian dua pelajar universiti. Susulan itu, ibu bapa dan netizen membuat tanggapan lambakan tugasan yang membebankan dan tempoh penghantaran singkat adalah punca kematian tersebut.
Untuk makluman, setiap institusi pembelajaran mempunyai kaedah tertentu menilai tahap kefahaman dan kompetensi pelajar. Antara cara penilaiannya adalah dengan memberi tugasan, mengadakan peperiksaan dan kuiz serta menjalankan latihan amali atau industri.
Setiap tugasan pastinya ada dateline yang perlu dikejar. Memang begitulah situasi pembelajaran di universiti. Ada pelajar yang tidak tidur malam malahan rutin harian menjadi kacau bilau jika silap menguruskan masa. Semua ini akan berakhir dan membuahkan kejayaan serta kenangan pahit dan manis.
Di IPT, setiap pensyarah perlu menyediakan student learning time (SLT) bagi setiap subjek. Komponen SLT adalah jumlah masa mengajar secara bersemuka, jumlah masa pelajar di dalam makmal atau studio, jumlah masa penyeliaan secara bersemuka dan tidak bersemuka serta jumlah masa pelajar belajar secara kendiri seperti menyiapkan tugasan, laporan atau kuiz.
Dengan adanya SLT, para pensyarah merancang sesi pengajaran dan pemberian tugasan yang lebih efektif dan tidak membebankan. SLT ini selari dengan kalendar akademik universiti selama 14 minggu pada kebiasaannya. Jumlah jam kredit subjek juga dihadkan pada setiap semester supaya tidak melebihi kemampuan pelajar. Setiap SLT akan diaudit oleh pihak universiti.
Pensyarah tidak boleh sewenang-sewenangnya memberi tugasan berlebihan. Jadi, tidak timbul isu pensyarah memberi tugasan lebih daripada yang ditetapkan. Apakah isu sebenar yang perlu diberi perhatian?
Apabila berada di rumah terlalu lama, bukan pelajar sahaja tertekan. Pensyarah juga tidak terkecuali, bukan mudah untuk mengendalikan kuliah secara dalam talian Perlu ada pembahagian masa yang seimbang antara aktiviti pengajaran dan rutin harian di rumah.
Pada masa sama, pensyarah perlu bertolak ansur dengan keadaan pelajar. Ada pelajar terpaksa bekerja untuk membantu keluarga yang terjejas. Ada juga yang perlu menguruskan keluarga dan menghadapi masalah capaian internet kritikal.
Tidak kurang juga mereka yang tiada ada apa-apa tanggungjawab tetapi bertarung dengan pengurusan masa belajar, menyiapkan tugasan, masa tidur, bermain game, menonton filem sehingga larut malam.
Satu pemerhatian membuktikan pelajar gemar menyiapkan tugasan di saat-saat akhir. Pengurusan masa yang lemah menjadi punca utama kepada tekanan dialami pelajar.
Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Ada yang mengambil jalan singkat untuk berhenti belajar di hujung semester. Ada juga yang mengabaikan terus tugasan. Begitu juga kes penangguhan semester.
Di sinilah peranan ibu bapa atau penjaga diperlukan. Pelajar tidak boleh dibiarkan lalai. Ahli keluarga perlu ambil tahu jadual pembelajaran mereka. Mereka boleh berhubung dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti untuk mendapatkan bantuan, pandangan dan kaunseling. Pensyarah juga boleh dihubungi bagi berbincang tentang masalah pembelajaran pelajar.
Di samping itu, rakan boleh memainkan peranan dengan saling bertanya khabar jika dilihat kurang penglibatan ketika kelas online. Pemantauan di media sosial boleh dijadikan sebagai medium mengesan tanda awal kemurungan dalam kalangan rakan.
Ini bukanlah masa untuk menuding jari. Bersamalah kita bergandingan membantu generasi pembelajaran di era Covid-19 yang penuh dengan cabaran.
NUR ANIZA MOHD. LAZIM dan ANDRIALIS ABDUL RAHMAN, Jabatan Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Puncak Alam.