Shuib ajar arwah isteri mengucap sebelum tutup mata

Shuib dan tiga cahaya mata sempat membuat panggilan video terakhir ketika Allahyarham Siti Sarah nazak, semalam. - Foto IG Shuib Sepahtu



KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, mengakui sering berseloroh dan menganggap arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, sebagai bidadari syurga dalam hidupnya sepanjang 10 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Walaupun pada awal perkahwinan dan sebelum dikurniakan cahaya mata pertama, impian menjadikan wanita istimewa itu agak samar, namun, Shuib tetap tidak berganjak menggelarkan bidadari syurga buat arwah isterinya.

"Kini, satu persatu Allah tunjukkan kebaikan arwah isteri. Selain doa tidak putus-putus sejak arwah dalam keadaan kritikal sehingga caranya dijemput Ilahi akibat COVID-19 dan selepas melahirkan anak keempat, saya nampak ia bagaikan ada kebenaran di sebalik gelaran yang saya berikan.

"Saya yakin dan pasti arwah pasti mencium bau syurga, insya-Allah. Saya berdoa Allah meletakkan arwah isteri di tempat yang paling baik.

"Sedih, saya adalah orang paling bersedih atas kehilangan kekuatan hidup saya. Namun, saya reda dengan ketentuan takdir.


Satu persatu Allah tunjukkan kebaikan Allahyarham Siti Sarah membuka mata Shuib mengenai bidadari syurganya itu. - Foto IG Shuib Sepahtu
Bidadari syurga saya sudah tiada.

"Saya bersyukur sempat mengajar arwah mengucap kalimah syahadah sebelum tutup mata," katanya kepada BH Online.

Mengenai pemilihan nama anak keempat, Shuib memaklumkan nama Ayash itu pilihan arwah.

"Arwah beriya-iya mahu nama Ayash Affan. Saya cakap nama ini tidak sesedap seperti pilihan nama anak pertama, Uwais Alqarni yang dipilihnya.

"Ikutkan, kami bergilir memberi nama anak. Jadi, nama anak kedua, Dzahira Talita Zahra pilihan saya. Kemudiannya, anak ketiga, Ariq Matin arwah pula yang tentukan.

"Sepatutnya, nama anak keempat giliran saya. Namun, arwah berkeras mahu letak nama pangkal pertama, Ayash. Namun, nama Affan adalah pilihan saya. Lalu, digabungkan nama menjadi Ayash Affan," katanya.

Gabungan nama pilihan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah, Ayash Affan menjadi memori yang terindah yang ditinggalkan. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad berkata, dia agak kekok dengan gabungan nama anak keempat yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

"Sampai satu tahap saya nak tukar nama lain. Namun, saya tak jadi menukarkannya kerana gabungan nama menjadi memori yang ditinggalkan arwah.

"Ayash masih dalam inkubator. Walaupun proses kelahirannya sangat sukar, tetapi semangat yang ada pada nama pilihan arwah sangat bermakna.

"Nama Ayash diberi sempena salah seorang pejuang Hamas di Wilayah Gaza yang mati syahid.

"Ayash juga hadiah terakhir paling bermakna untuk saya daripada arwah. Saya akan kenang detik ini, sekali gus menjaga dan membesarkan empat cahaya mata dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Shuib menyifatkan arwah menjadi tulang belakang hidupnya.

"Orang nampak saya pandai bisnes dan memasarkan, mungkin pada mata kasar saya disangka hebat. Tetapi, sebenarnya arwah menjadi perancangnya.

"Saya pernah terdetik, jika tidak berkahwin dengan arwah, apalah nasib saya. Arwah, bawa tuah kepada saya.

"Arwah sangat luar biasa dan banyak buka mata soal bersedekah dan berbuat baik tanpa harap balasan. Jika dalam tangan ada duit sedikitpun, bersedekahlah," katanya.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari ini.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.