CITF: Warga emas, guru kini boleh masuk untuk vaksinasi Covid-19 di seluruh negara |
PUTRAJAYA: Inisiatif vaksinasi walk-in yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang diperluaskan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seluruh negara untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat.
Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) memaklumkan, bagaimanapun hanya lima golongan diberi keutamaan untuk datang secara terus iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas.
Katanya, dua lagi golongan ialah individu yang terlepas suntikan dos kedua dengan dibenarkan pergi ke mana-mana PPV berhampiran kediaman, namun jika PPV tersebut tidak menawarkan vaksin dari jenis sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.
“Guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan turut dikhususkan dalam inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CITF, bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, tetapi ingin walk-in untuk dos pertama kerana tiada janji temu, mereka perlu pergi ke PPV yang disenaraikan sebelum ini.
SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir menerima vaksin Covid-19 di PPV Movenpick, Sepang yang dibuka secara walk-in. |
Sementara itu, CITF berkata, wanita hamil tidak digalakkan untuk walk-in seperti dimaklumkan sebelum ini, sebaliknya diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) ke PPV bersesuaian.
“CITF juga ingin memaklumkan bahawa jumlah walk-in harian adalah bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV.
“Mereka yang tidak berpeluang mendapat vaksinasi pada hari tersebut ekoran kehabisan bekalan vaksin di PPV, nama mereka akan disenaraikan sebagai keutamaan mendapatkan vaksinasi pada keesokan harinya,” katanya.
CITF menambah, pada masa ini Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak telah memulakan inisiatif walk-in kepada warga emas, termasuk Kelantan yang membuka secara pra-tempahan.
Katanya, perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan negeri masing-masing termasuk penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri.
“CITF memohon orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir walk-in bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan keselamatan di PPV,” katanya.