Van pelancong akan diubahsuai jadi ambulans: TPM

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 100 van pelancong akan diubah suai menjadi ambulans bagi membantu kes-kes kecemasan membabitkan Covid-19 terutama di Lembah Klang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



Beliau berkata, langkah dirancang di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley itu susulan situasi semasa pandemik Covid-19 negara, selain aduan kelewatan ambulans untuk mengambil pesakit di rumah yang mengalami situasi seperti sesak nafas dan memerlukan rawatan segera.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, inisiatif itu juga adalah bagi membantu pengusaha van pelancongan yang terkesan akibat kawalan pergerakan ketika ini yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri, sehingga menyebabkan industri pelancongan turut terjejas.

“Kita akan convertkan (tukar) van biasa menjadi ambulans dan kita akan berbincang dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kerana kita tahu van-van pelancong tidak lagi digunakan buat masa kini kerana pelancongan belum lagi dibuka sepenuhnya kerana masih lagi tiada rentas negeri...jadi pelancongan terkesan begitu teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di sini pada Jumaat.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ditanya berhubung perkara membabitkan bayaran kepada pengusaha van pelancong terlibat, Ismail Sabri berkata, segala terma dan syarat berkaitan akan diperincikan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOTAC dalam masa terdekat. Dalam pada itu Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu hal-hal berkaitan logistik di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.