Jangan jadi suami 'sampah'!

MOHD Yusof. FOTO Arkib NSTP



Nilai: Bakal suami sepatutnya mengukuhkan pegangan dan amalan agama dan bukan sekadar menghadiri kursus perkahwinan sebelum berkahwin.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, perkahwinan sewajarnya dibina atas perasaan kasih sayang serta tanggungjawab bersama.

Beliau mengulas isu seorang ibu tunggal berusia 26 tahun yang berdepan tekanan selepas diceraikan ketika masih dalam tempoh pantang di sini baru-baru ini.

Katanya, si suami perlu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya berusia empat tahun, dua tahun dan 17 hari susulan isteri tiada pekerjaan tetap.

"Perceraian adalah perkara harus paling dibenci oleh Allah SWT dan ia adalah pilihan terakhir jika mengalami kebuntuan dan tidak ada persefahaman.

"Kebanyakan pasangan yang berkahwin pada masa ini tidak mempunyai asas pengetahuan agama dan persediaan mental yang kukuh. Akibatnya mereka tidak mampu menghadapi serta menyelesaikan masalah rumah tangga," katanya semalam.

Mohd Yusof menasihatkan bakal suami supaya mengukuhkan pegangan dan amalan agama dan bukan sekadar menghadiri kursus perkahwinan.

"Perbuatan menganiaya sesama insan adalah sifat tercela, lebih-lebih lagi terhadap isteri yang sewenang-wenangnya diceraikan kerana masalah remeh," tambahnya.

Sebelum ini tular kisah malang buat seorang ibu beranak tiga yang tinggal di Flat Taman Semarak di sini, apabila dicerai suami ketika masih dalam pantang.

Ibu tunggal kelahiran Sabah itu dicerai suami pada hari Selasa lalu selepas 13 hari melahirkan anak lelakinya.

Difahamkan wanita itu diceraikan selepas membuat teguran kepada suami yang membiarkan buku temu janji klinik anak mereka dikoyakkan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.