Gambar hiasan |
PETALING JAYA – Pelbagai reaksi diluahkan orang ramai di media sosial berikutan ‘persengketaan’ politik yang berlaku ketika ini, ada yang sudah ‘muak’ dengan perangai ahli politik dan tidak kurang juga mahu isu ini diselesaikan segera.
Selain itu, mereka juga kecewa kerana di saat rakyat ‘dikurung’, ahli politik dilihat masih ‘bebas’ dan saling bercakaran sehingga mengenepikan masalah utama iaitu peperangan melawan Covid-19.
Kata mereka, ahli politik hanya mementingkan ‘poket’ masing-masing tanpa mempedulikan nasib rakyat yang kini semakin tersepit.
Menurut seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mat Husin Lambong berkata, rakyat sudah ‘penat’ melayan karenah ahli politik sedangkan kes Covid-19 saban hari tidak menampakkan penurunan.
“Kami sudah penat berkurung dirumah, sudahnya jumlah kes Covid-19 saban hari makin meningkat. Sampai bila kami perlu berkurung?
“Sedangkan ahli politik dan golongan ‘kayangan’ bebas ke sana sini, berhimpun sana sini, kami rakyat biasa sudah bertahun nak jumpa mak ayah dikampung pun tidak boleh. Adakah ini adil kepada rakyat biasa?,”tulisnya di laman Facebook.
Turut meninggalkan komen di laman Facebook adalah seorang yang pengguna dikenali sebagai Noor Aini Anie Papai.
“Rakyat harap covid ni dapat dibendung, berapa lama lagi mahu dikurung?
“Yang ada pangkat senang la, hari-hari makan sedap, rakyat ni kena kira ‘budget’ untuk kelangsungan hidup,” luahnya.
Pada masa sama, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Azhar Kadir turut meluahkan kekecewaan di laman Facebook.
“Sampai bila ahli politik mahu bertelagah sesama sendiri?, semua dibayar gaji untuk menjadi pembela kepada rakyat, tetapi sekarang tiada siapa yang membela rakyat?
“Ramai tengah susah sebab lebih setahun berkurung, hilang kerja, hilang ahli keluarga akibat Covid-19, hentikan segera berpolitik tumpu pada masalah rakyat dahulu,” tulisnya. -K! ONLINE