South America ,Brazil, Amazonas state, Manaus, Amazon river basin, along Rio Negro , Red-bellied piranha or red piranha (Pygocentrus nattereri) |
PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi amaran kepada orang awam agar tidak sekali-kali cuba melepaskan ikan tertentu atau bukan asli ke perairan umum di negara ini.
Ini termasuk enam spesies piranha yang merupakan ikan air tawar berbahaya dari Amerika Selatan serta berupaya membunuh manusia apabila dalam situasi ancaman atau tertekan.
Menerusi infografik disiarkan akaun sosial agensi tersebut, spesies itu ialah keluarga Genus dari jenis Serrasalmus, Serrasalmo, Pygocentrus, Catoprian, Pygopristis dan Pristobrycon.
Ikan berkenaan dipercayai dipelihara secara haram oleh penggemar hidupan marin kerana ia bukan haiwan semula jadi negara ini dan kemungkinan besar diseludup masuk dari luar.
Bagaimanapun, mereka kemudian cuba melepaskan ikan asing itu ke kawasan tasik, sungai atau parit apabila tidak mahu lagi memelihara spesies itu atas faktor kos makanan mahal.
ANTARA spesies ikan bukan asli yang dilarang Jabatan Perikanan untuk dilepaskan di perairan Malaysia. |
Ikan berkenaan juga ujarnya, boleh menjadi dominan apabila cepat membiak menguasai wilayah dan bersifat pemangsa agresif kepada ikan asli yang sedia ada di perairan tempatan.
Pada masa sama, DOF mengingatkan bahawa ikan luar itu menyumbang kepada bawaan penyakit baharu dan punca penyebaran selain penularan wabak dalam perairan domestik.
Selain piranha, spesies tombot atau Genus Hypostomus yang lazim dirujuk sebagai ikan bandar raya kerana sifat suka makan alga dan membersih akuarium juga dilarang dilepaskan.
Turut terdapat dalam senarai itu ialah ikan kap perak (Hypophthalmichthys molitrix), kap kepala besar (Hypophthalmichthys nobilis) dan kap rumput (Ctenopharyngodon idella).
Antara ikan lain ialah ikan naga (Arapaima), baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), tilapia (Oreochromis) dan dua spesies bawal merah atau disebut pacu (Colosomma dan Mylopus).
DOF telah mewartakan larangan import ikan itu mengikut Peraturan Perikanan, Akta Perikanan 1985 yang boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam tahun. – UTUSAN ONLINE