Saran kembalikan GST sebagai strategi fiskal negara |
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sebahagian daripada strategi fiskal jangka pertengahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengenalan semula GST, jelas OECD, adalah sesuatu yang seharusnya dipertimbangkan oleh pembuat dasar apabila tiba masa yang sesuai.
"Mengenai langkah percukaian, GST dihapuskan pada akhir 2018. Seperti yang dinyatakan, ketika ini adalah waktu yang tidak sesuai untuk melakukan pembaharuan cukai kerana kita sedang berada dalam krisis.
"Namun, kerajaan telah memulakan usaha untuk mencari beberapa pembaharuan untuk sistem percukaian.
"(Selain itu), terdapat (cukai) lain yang perlu dipelbagaikan kerana kita mempunyai asas pendapatan yang sempit, maka cukai adalah amat penting untuk membiayai pembangunan, untuk menggalakkan kecekapan perniagaan dan persaingan," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed |
Turut sama dalam pelancaran itu adalah Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan akan sentiasa mengutamakan rakyat terutama pada masa yang diperlukan.
Namun, tegasnya, apabila krisis ini reda dan keadaan kembali seperti biasa, Malaysia mesti mula mengembalikan ekonomi pada landasan fiskal yang mampan secara berperingkat.
Katanya, OECD turut menyarankan supaya negara memperluaskan perlindungan insurans kecederaan pekerjaan bekerja sendiri terhadap lebih banyak sektor.
"Mereka turut mencadangkan supaya kita membabitkan pekerja pasaran tidak dikawal selia seperti pekerja platform gig dalam skin pencen di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Cadangan dalam ruang perlindungan sosial ini menyarankan Malaysia harus mengadaptasikan perubahan landskap sosio-ekonomi dan perlu melaksanakan peraturan yang berkualiti dalam pasaran tidak dikawal selia untuk melindungi pekerja Malaysia," katanya.
Selain itu, OECD turut menyarankan supaya Malaysia memperkenalkan cukai karbon dan meningkatkan kadarnya secara berperingkat dan pada masa yang sama mengurangkan impak cukai kepada golongan isi rumah mudah terjejas.
"Malaysia akan mempertimbangkan sebahagian daripada saranan OECD dan sekiranya sesuai, akan membabitkannya dalam dasar ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang," katanya.