Membazir! Beberapa negara maju dijangka buang jutaan vaksin tamat tempoh

Jutaan vaksin Covid-19 dijangka luput dalam masa terdekat.



RAMAI pihak terpaksa menunggu, malah ada yang berebut untuk mendapatkan vaksin Covid-19, yang boleh dikatakan salah satu barangan paling berharga bagi masyarakat di seluruh dunia ketika ini.

Tapi sebaliknya yang berlaku di beberapa negara lain, apabila jutaan vaksin yang disimpan bakal dibuang tidak lama lagi kerana tarikh luput.

The Washington Post melaporkan di Leiden, Belanda, ribuan vaksin jenis AstraZeneca tidak digunakan sejak berbulan lalu dan dijangka luput pada bulan ini.

Bagi Dennis Mook-Kanamori, seorang doktor di Leiden University Medical Centre, dia tidak faham kenapa kerajaannya tidak menghantar vaksin tersebut ke negara lain.

"Ini sikap golongan elit yang nilai moralnya semakin menurun," kata Mook-Kanamori.

Bulan lepas Mook-Kanamori dan rakan-rakannya membuat 600 dos vaksin dan pada penghujung bulan ini jumlah tersebut akan bertambah sehingga 8,000 dos.

Jika tiada tindakan diambil, kesemua 10,000 dos vaksin yang disimpan di Leiden dijangka luput pada bulan Oktober ini dan perlu dibuang.

Pakar turut menjangkakan sekitar 200,000 vaksin AstraZeneca di negara tersebut bakal menerima nasib yang sama.

Situasi sama berlaku di negara kaya yang lain.

Di Israel, lebih 80,000 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech terpaksa dibuang pada penghujung Julai, 73,000 dos pelbagai vaksin telah dibuang di Poland, 160,000 vaksin Sputnik V yang hampir luput terpaksa dipulangkan Slovakia kepada Rusia.

Manakala di North Carolina, Amerika Syarikat, hampir 800,000 vaksin dijangka luput dalam masa terdekat.

Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan 469,868 dos pelbagai vaksin telah luput di Afrika setakat 9 Ogos.

Selain tempoh luput yang singkat, serta tidak dihantar untuk digunakan populasi yang memerlukan, vaksin juga berdepan kerosakan disebabkan oleh kerosakan peti yang digunakan bagi menyimpan vaksin tersebut.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.