Buka pintu sempadan negara boleh mengundang Lambda

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menimbulkan kebimbangan mengenai bahaya varian Lambda Covid-19 yang sangat mudah berjangkit.



Kuala Lumpur: Belum reda dengan varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, kini dunia diancam dengan varian Lambda.

Berdasarkan laporan antarabangsa, varian Lambda pertama kali ditemui di Peru, Amerika Selatan pada Disember lalu dan dikenal pasti di 29 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Brazil, Colombia, Ecuador, Perancis, Sepanyol, Chile dan Argentina.

Pastinya tidak mustahil varian ini memasuki negara selepas keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada pengembara luar negara menjalani kuarantin di rumah sekali gus membuka pintu sempadan kepada penularan varian Covid-19 lebih berbahaya.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar nyata tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membuka pintu sempadan negara yang diibarat 'mengundang bahaya' walaupun individu berkenaan sudah lengkap vaksinasi.

"Mereka yang sudah lengkap divaksin, masih berisiko dijangkiti dan menularkan virus dari negara luar, sekali gus berpotensi menjadi pembawa mutasi berbahaya yang belum ada di Malaysia.

"Malah, langkah ini dianggap 'mengundang bahaya' kerana negara masih bergelut untuk membendung varian Delta yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kadar vaksinasi negara masih mencatatkan hampir 50 peratus dan berharap kerajaan perlu menangguhkan 'hak istimewa' itu dengan membuka sempadan sehingga vaksinasi mencecah 80 peratus.

"Vaksin hanya mengurangkan kebarangkalian mendapat kesan jangkitan teruk, namun mereka tetap boleh dijangkiti dan membawa mutasi luar seperti Delta Plus dari India atau Lambda dari negara Amerika Latin dan menularkannya di Malaysia.

"Kita perlu mengambil iktibar kelonggaran pintu sempadan juga punca kita diserang Delta.

"Setakat ini, kekalkan peraturan ketat untuk pengembara luar iaitu wajib disaring sebelum dan semasa tiba ke Malaysia, dipakaikan gelang, ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan serta perlu menjalani saringan tiga kali sebelum boleh bergerak bebas dalam negara," katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19 membabitkan aktiviti rentas daerah dan negeri, ekonomi serta sosial.

Antaranya, pengembara luar negara dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah, selain penerima vaksin lengkap di negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ke atas boleh makan di restoran serta suami isteri jarak jauh boleh melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri bermula Selasa lalu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.