ANGGOTA polis ketika serbuan dijalankan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir, George Town pagi tadi. |
GEORGE TOWN – Gara-gara kemaruk seks dan ketagih dadah disebabkan lama tidak bertemu, pasangan kekasih antara 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir di sini awal pagi tadi.
Mereka terdiri 13 lelaki dan tujuh wanita yang masing-masing berusia antara 17 hingga 25 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) kira-kira pukul 12.30 malam tadi.
Semasa serbuan, kesemua lelaki dan wanita tempatan yang bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai itu didapati berada di ruang tamu rumah banglo tiga tingkat tersebut.
Sumber berkata, individu terbabit dikatakan sanggup merentas daerah iaitu datang dari kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas semata-mata mahu melepaskan gian dadah bersama rakan termasuk kemaruk seks dengan pasangan kekasih.
Menurutnya, turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan adalah bungkusan dadah dipercayai jenis Methamphetamine dan kondom di ruang tamu berkenaan termasuk set karaoke.
“Mereka terkedu sebaik melihat kehadiran anggota polis dan ketika itu mereka tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan kediaman banglo itu telah dikepung.
“Siasatan mendapati, mereka menyewa inap desa itu pada harga RM800 untuk satu malam iaitu dari pukul 3 petang semalam hingga hari ini. Mereka berkongsi duit sebanyak RM70 seorang.
“Hasil soal siasat ke atas beberapa pasangan kekasih mendapati yang mereka datang ke situ untuk berhibur kerana sudah lama tidak bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada Kosmo! di sini.
Jelas sumber lagi, kesemua mereka yang didapati positif dadah jenis Methamphtemine kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan tangkapan tersebut. – K! ONLINE