KJ jangan ‘kambing hitamkan’ Zahid – Puad

KHAIRY JAMALUDIN




PETALING JAYA: Adalah tidak wajar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai alasan untuk menolak keputusan Majlis Tertinggi sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr.Mohd Puad Zarkashi berkata, Khairy tidak perlu berdolak dalik kononnya taat kepada parti dan dalam masa yang sama tidak percaya kepada Ahmad Zahid.

Malah katanya, dakwaan Khairy sebelum ini hanya dilihat sengaja mencari alasan untuk kekal dengan kedudukannya dalam Kabinet dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau dia tidak percaya Presiden, maka itu bukan tiket untuk dia tidak patuh keputusan parti. Kalau betul dia taat kepada parti, sila buat pengakuan terbuka, bahawa dia akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri dan sedia letak jawatan sebagai Menteri Sains Teknologi dan Inovasi.

“Itu adalah keputusan parti yang dibuat secara konsensus melalui Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020. Itu bukan keputusan Presiden seorang. Hatta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata dia akan patuh dan akan letak jawatan, “katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairy yang bertanding untuk merebut jawatan Presiden UMNO dalam Pemilihan UMNO 2018 tewas kepada Ahmad Zahid.

Beliau sebelum ini turut mengakui mempunyai masalah mempercayai presiden partinya Ahmad Zahid.

Dalam pada itu Mohd.Puad berkata, Khairy yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO sebelum ini sepatutnya tahu bagimana Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan

Justeru katanya, Khairy perlu akur bahawa mengingkari keputusan parti hanya memecah belahkan parti.

“Jangan bersikap ‘blaming the victim’. Ahmad Zahid jadi mangsa untuk tolak keputusan parti,” jelasnya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.