Aliaksandrau yang merupakan peminat pasukan Liverpool FC menyanyikan lagu tema pasukan itu setiap hari bagi membantunya kekal positif. - Liverpool Echo |
MINSK, Belarus – Seorang wartawan yang dikenakan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan melakukan khianat menyanyikan lagu tema pasukan bola sepak kegemarannya, Liverpool FC setiap hari ketika dia berada di dalam penjara untuk memberikannya semangat, lapor akhbar Daily Star semalam.
Andrei Aliaksandrau ditahan di rumahnya di Belarus awal tahun ini atas tuduhan memberikan dana kewangan terhadap protes pembangkang selepas Presiden Alexander Lukashenzo merampas kuasa dalam pilihan raya yang didakwa penuh dengan penipuan.
Aliaksandrau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata dia ‘terkejut’ dengan pertuduhan tersebut.
Sepanjang kerjayanya bersama sebuah organisasi kebebasan bersuara, Index on Censorship yang berpangkalan di London, Aliaksandrau lantang berkempen untuk kebebasan bersuara.
Rakannya berkata, lelaki itu menyanyikan lagu You’ll Never Walk Alone setiap hari sepanjang berada di penjara untuk menaikkan semangatnya.
Bekas Ketua Pengarang Index on Censorship, Rachael Jolley menyifatkan Aliaksandrau seorang yang menyerahkan jiwa dan raganya untuk memberi kesedaran tentang kemelut yang berlaku di Belarus.
“Dia amat mementingkan kebebasan media dan berasa dunia tidak memberikan tumpuan terhadap apa yang sedang berlaku di Belarus.
“Dia bekerja keras untuk menulis berita tentang Belarus ketika kebanyakan wartawan terlalu bimbang untuk membuat liputan berkenannya,” katanya. -Agensi